Lafaz yang kutunggu

Shahida, the dexter girl!

Hampir kesemua pelajar di dalam kelas mendengar dengan teliti semasa guru mereka sedang mengajar di dalam kelas. Puan Adlin yang merupakan guru Bahasa Melayu mereka sedang menerangkan penggunaan kata kerja di dalam satu petikan pemahaman. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak menumpukan perhatian semasa sesi pembelajaran ini berlangsung. Ada pelajar yang tidur di belakang kelas apabila Puan Adlin tidak melihat. Ada pelajar yang berbual dan ada juga yang mengusik pelajar lain. Beginilah kerenah pelajar kelas ini. Sukar bagi guru-guru yang mengajar mereka membayangkan kelas itu berada dalam keadaan senyap sentiasa. Kadang-kadang para guru pula yang menjadi mangsa usikan dan gurauan pelajar mereka.
“Salin petikan dan soalan pada muka surat tiga puluh lima dalam buku Pemahaman. Semua hantar pada hari Isnin. Haziq, hari Isnin nanti jangan lupa kumpul dan hantar semua buku latihan atas meja saya, ” arah Puan Adlin. Haziq mengangguk tanda faham. “Ada sepuluh minit sebelum waktu rehat. Sementara ada masa ni, kamu semua boleh buat kerja itu sekarang.”
Beberapa orang pelajar membawa keluar buku Pemahaman masing-masing. Mereka tekun menyalin petikan di dalam buku teks. Namun begitu, ada juga yang tidak turut serta menyiapkan kerja rumah yang diberi. Mereka lebih selesa membuat kerja itu di rumah. Masa terluang di sekolah dihabiskan dengan berbual kosong dan mengusik orang sahaja. Pelajar lelaki kelas itu suka mengganggu pelajar perempuannya dan salah seorang daripada pelajar perempuan yang sering menjadi mangsa usikan mereka ialah Zairin.
Zairin yang duduk di barisan nombor dua dari hadapan berasa kurang selesa untuk membuat kerja yang diberikan oleh Puan Adlin sebentar tadi. Serpihan kertas kecil sering sahaja dilontarkan ke arahnya. Zairin cuba mengawal perasaan marahnya. Ingin sekali dia melontarkan kembali serpihan kertas-kertas kecil yang dilontarkan kearahnya kepada pelajar lelaki itu. Namun memikirkan Puan Adlin duduk berhampiran dengan mejanya, Zairin membatalkan niatnya. Pelajar lelaki itu ketawa kecil bersama rakan-rakannya di belakang kelas. Mereka juga memerhatikan Puan Adlin bagi memastikan Puan Adlin tidak menyedari tindakan mereka mengganggu Zairin. Sesekali Zairin memandang ke arah Puan Adlin berharap agar Puan Adlin sedar apa yang berlaku di tempat duduknya. Puan Adlin hanya sibuk membaca sesuatu di meja guru tanpa menyedari perbuatan pelajar lelaki yang melontarkan serpihan kertas ke arah Zairin. Haziq, ketua tingkatan kelas 3 Gigih memerhati gelagat pelajar lelaki itu.
“Bangun semua! Terima kasih cikgu!” Haziq melaungkan suaranya sebagai seorang ketua tingkatan.
Puan Adlin berlalu keluar. Semua pelajar bergegas keluar dari kelas. Ada yang menuju ke kantin dan ada yang pergi ke koperasi. Pengawas yang bertugas menjalankan tugas mereka seperti biasa. Haziq pula mengejar pelajar lelaki yang mengganggu Zairin sebentar tadi. Zairin masih lagi termenung di tempat duduknya. Dia memandang ke arah pelajar perempuan yang duduk di hadapannya di dalam kelas. Pelajar perempuan yang berambut panjang dan berkulit hitam manis ini sedang menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh Puan Adlin. Rambutnya kemas diikat dan dia juga merupakan pustakawan sekolah. Hari ini bukanlah hari dia bertugas di perpustakaan sekolah. Jadi pelajar perempuan ini lebih selesa menyiapkan kerja rumahnya di dalam kelas ketika waktu rehat.
“Hai cik adik depan kita ni, rajinnya buat kerja rumah,” Zairin mengusik.
Pelajar perempuan itu hanya tersenyum dan tidak mengendahkan kata-kata Zairin. Zairin mengeluh sambil menggelengkan kepalanya. Zairin berdiri lalu bergerak duduk di sebelah pelajar perempuan itu.
“Setahu aku, dekat rumah, tengah hari kau buat kerja rumah, petang kau buat kerja rumah, malam pun kau buat kerja rumah. Boleh tak dekat sekolah kau buat kerja lain?” Pelajar perempuan itu masih tidak mengendahkan kata-kata Zairin.
“Lagi pun, belum pernah kerja rumah kau tak siap. Semua yang cikgu bagi, semua siap. Sampai orang bagi gelaran, ‘Shahida Ratu Kerja Rumah’ dekat kau.” Pelajar perempuan itu mula meletakkan pennya di tepi. Dia memandang Zairin.
“Shida, aku tahu kau pelajar yang baik. Tapi, sekali sekala kau kena juga buat perkara yang berbeza selain daripada belajar.”
Shahida mula tersenyum semula. “Habis tu, kau ingat selama ni aku dua puluh empat jam asyik belajar saja ke, Zairin?” Zairin mengangguk. Shahida menutup buku Pemahaman dan buku teks Bahasa Melayu.
“Zairin, aku lagi senang siapkan kerja rumah awal. Bila kerja rumah dah siap, banyaklah masa aku nak buat kerja lain. Kalau aku dua puluh empat jam asyik belajar saja, matilah otak aku tak berehat.”
“Yelah!” Zairin mengeluh lagi. “Tapikan Shida, selain daripada belajar, apa yang kau suka buat?”
“Tak banyak. Aku lagi suka habiskan masa aku dengan membaca buku cerita.”
“Patutlah dari dulu aku dengar orang panggil kau “Shahida Ratu Kerja Rumah” lah, “Shahida Ratu Ulat Buku”, tak pun “Shahida The Dexter Girl”’. Bila aku kenal kau tahun ni, baru aku percaya apa yang orang cakap.”
“Sekarang ni, apa perasaan kau bila dah kawan dengan aku?” Shahida membersihkan kaca matanya.
“Menyesal.” Zairin merampas kaca mata Shahida.
Shahida berasa hairan. “Menyesal?” Shahida mengambil semula kaca matanya. “Menyesal tak kawan dengan kau dari dulu. Kalau kau nak tahu, kaulah satu-satunya kawan yang layan aku dengan baik.” Zairin merampas kaca mata Shahida.
“Kenapa pula? Selama ni, kawan-kawan kau dera kau ke?” Shahida cuba mengambil semula kaca matanya tetapi Zairin menggenggam erat kaca matanya itu.
“Taklah. Cuma aku rasa kau ni kawan baik aku yang memahami aku.” Mereka memandang antara satu sama lain. Zairin menarik perlahan rambut Shahida yang terikat itu. “Belum pernah aku ada kawan baik yang macam kau, Shida.” Zairin dan Shida tersenyum.
“Sekurang-kurangnya kau pulangkan kaca mata aku balik. Kalau tak aku tak terima kau jadi kawan baik aku.” Shahida masih cuba mengambil semula kaca matanya. Zairin melarikan diri. Dia memandang ke arah Shahida lalu menjelirkan lidah. “Zairin! Pulangkanlah!” Shahida menjerit. Dia mengejar Zairin.
Zairin memulangkan semula kaca mata Shahida di luar kelas 3 Gigih. Mereka ternampak Haziq sedang memarahi seorang pelajar lelaki di situ. Pelajar lelaki itu sedikit pun tidak menumpukan perhatian pada Haziq. Pelajar lelaki itu tidak mengendahkan sebarang kata-kata yang keluar dari mulut Haziq. Dia lebih selesa melambaikan tangannya pada lelaki dan bersiul pada pelajar perempuan yang lalu.
“Apalah Haziq tu. Tahulah dia ketua tingkatan. Sesuka hati dia saja nak marah orang,” kata Shahida.
“Aku lagi suka!” Zairin mengalihkan pandangannya daripada Haziq dan pelajar lelaki itu.
“Kenapa Zairin?” Shahida bertanya.
“Kau tak nampak ke tadi dalam kelas apa yang budak tu buat dekat aku?” Shahida menggelengkan kepala atas pertanyaan Zairin itu.
Zairin menahan marah lalu berkata, “Kau nak tahu tak, si JOOOE Jambul kelas kita tu tadi asyik baling kertas saja dekat aku. Dari mula masa Puan Adlin masuk sampailah waktu rehat, kerja dia, melontar kertas dekat aku. Biarlah siapa nak marah dia ke, tendang dia ke, aku tak peduli! Apa yang pentingnya, aku lagi SUKA!”
Shahida memandang semula ke arah Haziq dan Joe. Haziq masih lagi memarahi Joe.
Shahida terfikir sesuatu. “Eh , Zairin! Kau tak rasa dia suka kau ke?”
Zairin terkejut. “Eiii…tolonglah! Kalau betul pun, bukanya aku suka dia.”
“Alah Zairin, budaknya baik apa. Rupa ada, pandai, akhlak pun baik, se…”
“Dah..dah..Shida! Kau kata budak macam tu akhlak baik? Memang sah kau rabun.”
“Apa pula? Betullah apa yang aku kata. Kalau dia tak baik, takkan cikgu lantik dia jadi ketua tingkatan kelas kita.”
“Errr…Shida, kau cakap tentang siapa ni?” Zairin mula berasa hairan.
“Aku cakap tentang Haziqlah. Habis tu siapa lagi ketua tingkatan kelas kita?”
“Aku ingat kau cakap tentang Joe Jambul perasan handsome tu.” Zairin menarik nafas lega. Dia memandang ke arah Haziq. Joe berlalu dari situ mendapatkan rakannya, Amir. Amir sempat memandang ke arah Shahida lalu melambaikan tangannya. Haziq membetulkan tali lehernya.
“Tak mungkin,” kata Zairin.
Shahida hanya mengangkat bahunya lalu memakai semula kaca matanya. Dia membalas lambaian tangan Amir sambil tersenyum. “Marilah kita masuk kelas semula,” ajak Shahida.
Zairin mengikut Shahida dari belakang. Tiba di pintu kelas 3 Gigih, Zairin memandang ke arah Haziq semula. Haziq masih lagi membetulkan tali lehernya. Dia menyedari ada orang memandang ke arahnya. Haziq memandang ke hadapan. Dia melihat Zairin sedang memerhatikannya. Zairin terkejut lalu melangkah laju masuk ke dalam kelas. Haziq tersenyum.