Lafaz yang kutunggu

PMR!!!

Cuti penggal telah pun tamat. Shahida juga puas dan seronok bercuti bersama keluarganya di Pulau Pinang. Nadia pun sudah pulang ke kolejnya. Apabila cuti tamat, ini menandakan peperiksaan besar bagi pelajar tingkatan tiga hampir tiba. PMR, itulah yang menanti pelajar tingkatan tiga pada bulan Oktober ini. Debaran itu makin hampir. Ada pelajar yang bertambah kuat belajar dan ada pula yang masih lagi khayal bermain. Shahida, seperti biasa dia akan mengulangkaji pelajarannya dari tingkatan satu hinggalah ke tingkatan tiga. Shahida tidak berasa tertekan kerana dia sering membuat ulangkaji. Shahida bukanlah seorang pelajar yang suka membuat sesuatu disaat akhir. Pada waktu peperiksaan hampir tiba ini, Shahida lebih selesa membuat latihan dan tidak lagi kerap membaca buku teks atau pun buku rujukan yang tebal itu. Shahida lebih beruntung kerana mempunyai seorang adik yang berada di tingkatan satu. Diana sering menolong kakaknya membuat ulangkaji. Pada malam ini, Diana membantu Shahida mengulangkaji mata pelajaran Pendidikan Islam di dalam bilik tidur Diana.
“Berikan empat cara untuk menjadi golongan yang bertakwa kepada Allah s.w.t.” Diana mengajukan soalan kepada Shahida.
“Emm...sentiasa melakukan amal kebajikan, taat kepada perintah Allah, meninggalkan segala kemungkaran, dan berpegang teguh pada ajaran al-Quran. Betul tak?”
“Betul! Betul! Soalan seterusnya,…bagaimanakah anda mengamalkan perintah yang terdapat dalam kitab suci al-Quran?”
“Antaranya ialah berbuat baik sesama manusia dan lain-lain makhluk Allah s.w.t, mengerjakan solat lima waktu, dan melakukan amal kebaikan dan kebajikan. Eh, lebih kurang sama saja jawapannya dengan jawapan untuk soalan tadi.” ujar Shahida.
“Yalah kak. Tapi, jawapan yang akak bagi semuanya betul. Alah, jawapannya memang tak lari pun. Sama saja. Betul tak, kak?”
Telefon bimbit Shahida berbunyi. Semasa mengulangkaji, ada saja yang mengganggu. Kalau Zairin, tidak apalah juga. Ini Amir yang sering menelefonnya. Bosan rasanya berbual dengan Amir. Ini mesti Amir yang telefon. Shahida melihat nombor yang tertera di skrin telefonnya. Memang sah! Nombor itu ialah kepunyaan Amir. Shahida tidak menjawab panggilan itu. Shahida membiarkan telefon bimbitnya berbunyi. Apabila ia berhenti berbunyi, Shahida segera mematikan telefon bimbitnya. Beberapa saat kemudian, telefon rumahnya pula berbunyi.
“Hello, nak cakap dengan siapa?” kata Puan Hamidah menjawab panggilan itu. “Shahida? Sebentar ye,...IDA!” Puan Hamidah menjerit memanggil anaknya.
Shahida berasa malas untuk menjawab panggilan itu. Dia pasti panggilan itu daripada Amir. Mendengar Puan Hamidah memanggilnya, Shahida terpaksa menjawab juga panggilan itu.
“Mama! Ida dah angkat ni. Mama letaklah,” Shahida memberitahu Puan Hamidah yang dia mengangkat ganggang telefon rumah di ruang tamu tingkat atas. Diana keluar dari biliknya untuk mendengar perbualan itu sekali.
“Hello Shida. Awak buat apa tu?” soal Amir sebaik sahaja mendengar suara Shahida.
“Saya? Err..tak ada buat apa-apa. Kenapa?” Shahida memberi isyarat kepada Diana. Diana mengangguk tanda faham.
“Tak adalah. Saja nak ajak awak berborak. Dah lama kita tak bersembang berdua. Awak tu, berkepit saja dengan komputer awak dua puluh empat jam, kan?” sindir Amir.
“Isy, awak ni! Pandai-pandai saja.” Shahida memberikan isyarat kepada Diana sekali lagi.
“Kak, marilah sambung belajar. PMR dah dekat ni. Takkan nak bergayut saja?” jerit Diana dengan kuat. Dia menahan daripada ketawa selepas itu.
“Oh, ye...nanti sekejap. Akak tengah sembang dengan kawan ni.” Shahida berpura-pura menyahut dengan kuat. Diana dan Shahida juga menahan daripada ketawa
“Awak tengah belajar? Ganggu ke?”
“Eh, tak adalah. Tak apa. Mana ada ganggu!”
“Kalau awak tengah belajar, saya tak naklah ganggu awak. Awak belajarlah dulu. Nanti kalau ada masa, saya telefon awak lagi. Ok?”
“Tak payahlah...eh, maksud saya, baiklah. Hehe...ok! Bye...”
Belum sempat Amir mengucapkan selamat malam, Shahida terus meletakkan ganggang telefon rumahnya. Begitulah keadaannya kalau Amir menelefon Shahida. Pastinya Shahida akan cuba menamatkan perbualannya dengan Amir secepat mungkin. Bosan! Ya, perkataan yang sesuai bagi menggambarkan perasaan Shahida ketika berbual dengan Amir.
“Bosan? Memang pun. Diana pun tak suka kakak kawan dengan dia. Abang Nadhir okaylah.” kata Diana sambil membelek buku-buku latihan yang lain.
“Nak juga cakap nama Nadhir. Sama saja dengan Kak Nadia dia ni. By the way, sebut tentang kawan, bagaimana Diana sekarang? Dah jumpa kawan yang sesuai?” soal Shahida menukar topik perbualan mereka berdua.
“Dah, kak. Bukannya sikit, tapi ramai! Kawan-kawan yang suka buli Diana dulu pun dah jadi kawan baik Diana sekarang,” kata Diana sambil tersenyum.
“Aik, dah jadi kawan baik? Apa yang jadi sebenarnya?”
“Mereka mula sedar sejak Diana dapat keputusan yang baik dalam kelas. Mereka lebih terperanjat semasa Diana mendapat tempat pertama dalam kelas. Sejak dari hari itu, mereka minta maaf dengan Diana dan berjanji akan menjadi kawan yang baik,” jelas Diana dengan riak wajah yang gembira.
“Baguslah kalau begitu. Nampak tak kesannya kalau kita belajar bersungguh-sungguh? Orang tak akan pandang rendah pada kita. Tapi, kita pula jangan sesekali meninggi diri. Kalau kita meninggi diri, bila-bila masa sahaja Allah akan tarik balik kepandaian kita.”
“Tapi kak, bagaimana kita nak elak dari sikap bangga diri? Kadang-kadang kita pun tak sedar bila masanya kita bersikap bangga diri.”
“Pastikan niat tu betul. Mengapa Diana belajar? Ini adalah tugas kita sebagai makhluk Allah untuk menuntut ilmu. Kita juga menuntut ilmu adalah untuk membalas jasa ibu bapa kita. Tak lupa juga untuk diri kita sendiri. Tak kira apa bentuk ilmu sekali pun, ilmulah yang mencorak masa depan kita. Faham tak, Diana?”
“Faham, kak. Mama pun selalu kata. Ilmu yang boleh beri kita kesenangan bukannya wang ringgit.”
“Baguslah kalau Diana faham. Hai, mentang-mentanglah kita ni tengah belajar Pendidikan Islam, tiba-tiba saja kita berdakwah dekat sini,” ujar Shahida sambil tersenyum kepada adik bongsunya itu. Mereka sambung melakukan ulang kaji semula.

Sementara itu, Nadhir juga sibuk melakukan ulang kaji di rumahnya. Dia sedang membuat banyak latihan Matematik. Nadhir memang lemah dalam subjek Matematik. Berbeza dengan Shahida yang boleh mendapat markah tinggi walaupun tidak melakukan sebarang latihan bagi subjek Matematik. Shahida sering mendapat markah yang tinggi dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Sayang sekali Nadhir lemah dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Nadhir tidak mahu kalah dan berasa malu pada Shahida. Kini, Nadhir berusaha untuk memperbaiki kelemahannya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Dia menggunakan serba sedikit petua yang diberikan oleh Shahida untuk mengulang kaji pelajaran. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk beberapa kali.
“Siapa?” soal Nadhir.
“Ayah ni. Boleh ayah masuk?” ujar Encik Ismail. Nadhir segera membuka pintu bilik tidurnya.
“Masuklah ayah,” pelawa Nadhir. Encik Ismail duduk melihat anak tunggalnya itu membuat latihan.
“Bagaimana? Boleh ke kamu buat Matematik ni?” soal Encik Ismail sambil melihat meja anaknya yang dipenuhi dengan buku-buku latihan. Bertambah rajin pula anaknya ini, fikir Encik Ismail.
“Nak dapat A tu, susah sikitlah ayah. Tapi, insyaAllah Nadhir akan cuba buat yang terbaik untuk Matematik.” Riak wajahnya mencerminkan semangatnya. Encik Ismail begitu senang hati melihat Nadhir begini.
“Bukan Matematik saja. Subjek lain pun kamu kena buat yang terbaik juga. Lebih lagi kamu dah ada pemangkin ni. Kena bersemangat sikit kalau nak belajar.” Encik Ismail cuba mengumpan.
“Ai, ayah ni! Saya belajar bukannya sebab pemangkin tu saja.”
“Bukan sebab pemangkin tu saja? Oh, kalau lagu tu, betullah kamu ada pemangkin ni.” Encik Ismail mengenakan anaknnya lagi.
Nadhir tersenyum malu sambil menggaru kepalanya dengan pensel yang dipegangnya tadi. Ternyata ayahnya bijak meneka. Tiada apa yang boleh dirahsiakan daripada pengetahuan ayahnya. Selain daripada Haziq, ayahnya ialah kawan baiknya juga. Encik Ismail selalu mengambil berat hal anaknya itu. Dia tidak mahu mengabaikan anak tunggalnya itu. Segala masalah Nadhir, pasti akan diceritakan kepada Encik Ismail. Mereka berdua pun sama-sama lelaki. Sudah pasti mereka memahami perasaan masing-masing. Shahida juga tahu yang Nadhir rapat dengan ayahnya. Tapi, Shahida tidak tahu yang Nadhir bakal menceritakan tentang diri Shahida kepada ayahnya pada malam ini. Nadhir menceritakan bagaimana wajah Shahida dan personalitinya. Sebagaimana Nadhir mengenali diri Shahida, begitulah juga Nadhir menggambarkan kepada ayahnya.
“Shahida? Cantik namanya. Ayah pernah jumpa dia tak?”
“Belum lagi, ayah. Rasanya, ayah belum pernah tengok pun muka dia lagi. Nanti Nadhir tunjukkan pada ayah,” kata Nadhir sambil tersenyum.
“Nadhir, kamu tu muda lagi. Banyak masa lagi kamu nak bercinta.”
“Ayah, Nadhir tak bercintalah dengan dia. Macam yang Nadhir ceritakan pada ayah tadi, Nadhir dengan Shahida kawan baik saja. Itu pun melalui internet. Belum pernah bertegur sapa.” jelas Nadhir.
“Baguslah kalau lagu tu. Tapi, kalau kamu nak bercinta pun, ayah idaklah kisah sangat. Cuma kamu jangan abaikan pelajaran saja. Pelajaran tu penting. Ingat?” Tegas nada Encik Ismail.
“Ingat ayah. Lagipun, apalah yang saya boleh lakukan lagi dalam hidup saya yang singkat ni. Belajar sajalah yang saya boleh lakukan selagi saya masih hidup,” nada suaranya mula bertukar sayu.
Encik Ismail hanya tertunduk. Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan. Hendak dinafikan kata-kata anaknya itu, agak sukar bagi dirinya. Sehingga kini, masih belum lagi kelihatan harapan untuk Nadhir. Perbualan mereka terhenti. Mereka berdua termenung seketika. Riak wajah mereka ibarat seseorang yang sedang menanti harapan yang belum mereka pasti. Apakah yang mereka fikirkan? Encik Ismail memandang wajah anaknya. Adakah Nadhir akan menghadapi saat-saat itu? Tidak! Nadhir seorang yang tinggi semangatnya. Encik Ismail yakin Nadhir pasti boleh!
Nadhir pula merenung komputer pemberian Encik Ismail itu. Komputer itulah yang selama ini membantu dirinya berbual dengan Shahida. Jauh di sudut hatinya ada satu suara yang mengatakan keinginan untuk berbual dengan Shahida secara bersemuka. Hati kecilnya juga berkata supaya memberitahu segalanya kepada Shahida. Tapi dalam masa yang sama, lidahnya kelu untuk mengeluarkan walau sepatah kata. Nadhir tidak berdaya untuk menegur Shahida. Mereka berdua hanya mampu bertentang mata dan berbalas senyuman. Apakah semua ini akan berakhir? Adakah Nadhir masih lagi mempunyai peluang untuk mendengar suara Shahida menegurnya?
“Nadhir?” tegur Encik Ismail apabila melihat anaknya mula termenung. Nadhir memandang ayahnya.
“Kenapa ayah?” soal Nadhir terkejut.
“Takkan termenung je nak oi! Belajarlah. Mana tahu kalau kamu belajar bersungguh-sungguh, nanti kamu boleh jadi orang kaya. Bila dah kaya, bolehlah kamu masuk meminang Shahida tu,” Encik Ismail cuba menggembirakan hati anaknya. Nadhir hanya ketawa kecil.
“Merepeklah ayah ni,” Nadhir tersenyum malu.
“Belajar tau. Nanti kalau ada masa, ayah mai merepek lagi,” ujar Encik Ismail.
Encik Ismail berlalu keluar dari bilik tidur Nadhir. Nadhir kembali membuat latihan.