Lafaz yang kutunggu

PMR TAMAT!!!

“Masa tinggal lagi sepuluh minit!” Pengumuman diberikan oleh guru pengawas. Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan PMR. Semua pelajar tingkatan tiga
tekun menjawab kertas mata pelajaran Sejarah. Sememangnya ini bukanlah mata
pelajaran kegemaran Shahida. Susah juga soalan-soalan yang diberikan. Shahida mula
mengingati kembali semua yang telah diajar oleh guru Sejarahnya dan juga kakaknya.
Shahida cuba menjawab dengan sebaik mungkin. Semua soalan dibaca dan dijawab
dengan teliti. Shahida tidak mahu menghampakan semua orang yang disayanginya. Ibu
bapa, kakak, adik, rakan-rakan, dan...siapa lagi kalau bukan Nadhir.

“Masa sudah tamat. Semua pelajar diminta berhenti menjawab dan letakkan pensel masing-masing. Semak kertas jawapan. Semak juga nama, nombor kad pengenalan, dan juga nombor angka giliran kamu!” guru pengawas memberikan arahan.
Selesai menyemak kertas jawapan, semua guru pengawas yang bertugas mengutip setiap kertas jawapan pelajar-pelajar. Terukir juga senyuman di wajah setiap pelajar tingkatan tiga. Lega rasanya kertas mata pelajaran PMR yang terakhir ini telah pun berlalu.
Pelajar-pelajar tingkatan tiga keluar dari dewan peperiksaan. Ada diantara mereka yang bersorak kegembiraan. Mereka merasakan semua beban peperiksaan telah pun tamat. Barangkali mereka sudah lupa apa yang bakal mereka hadapi ketika mereka berada di tingkatan lima. Inilah lumrah bagi setiap pelajar. Tamat sahaja satu peperiksaan, mereka akan merasa bebas. Bebas dari segala tekanan pelajaran. Sehingga mereka terlupa seketika bahawa mereka masih belum tamat persekolahan.
Zairin mencari Shahida. Kepalanya menoleh ke kiri ke kanan. Dia tahu rakannya itu adalah salah seorang pelajar yang disenangi dikalangan guru-guru di sekolah. Sudah pasti guru-guru yang mengajarnya ingin berjumpa setelah tamat peperiksaan. Zairin mulanya mencari di bilik guru. Seorang pelajar memberitahu yang Shahida bersama dengan Puan Adlin berjalan keluar daripada bilik guru. Tidak diketahui pula ke mana arah mereka berjalan. Zairin terus mencari dan bertanya jika ada sesiapa yang ternampak kelibat Shahida. Akhirnya, Zairin bertemu denga Shahida yang sedang membaca sesuatu di kantin. Zairin segera berjalan mendapatkan Shahida.
“Kau baca apa tu?” Zairin bertanya.
“Benda ni,” ujar Shahida sambil menghulurkan kertas yang dibacanya tadi kepada Zairin.
“Kelas elit bagi pelajar tingkatan empat?” soal Zairin sambil membaca apa yang tertulis di kertas itu.
“Yup! Untuk persediaan SPM. Kalau kau nak, kau pun boleh apply, Zairin.”
“Aku? Tak payahlah. Kalau engkau bolehlah. Apalah kau ni, Shida. Kita baru saja habis PMR, kau dah fikir nak masuk kelas tambahan untuk SPM.”
“Tak salahkan? SPM pun lagi dua tahun. Tak lama tu.”
“Dua tahun kau kata tak lama? Emm...tak apalah Shida. Janji kau bahagia. Marilah kita pergi makan dekat bawah. Sambut PMR dah habis. Alah, makan-makan je. Takkan tak nak kut? Tak ganggu pun SPM kau,” usik Zairin sambil menghulurkan kembali kertas itu kepada Shahida.
“Aku tak kata pun tak nak. Nak perli aku pula. Marilah. Aku pun lapar ni.”

Mereka berdua berjalan bersama. Shahida mula rasa tidak senang hati. Dia dapat merasakan kelibat seseorang yang dia sering kali cuba mengelak daripada bertemu berada berhampiran dengannya. Shahida menoleh ke kiri. Di seberang jalan itu ada sekumpulan pelajar lelaki berjalan bersama. Kumpulan pelajar lelaki itu menyedari Shahida dan Zairin berada berhampiran dengan mereka. Kelihatan Amir dan rakan-rakannya berjalan menuju ke arah Zairin dan Shahida.
“Alah, malasnya nak layan!” bisik hati kecil Shahida.
Amir menghampiri Shahida. Shahida yang menafikan perasaan kurang senangnya itu berpura-pura senyum menyambut kehadiran Amir.
“Nak pergi mana, Shida?” soal Amir.
“Pergi makan dengan Zairin. Kenapa?” ujar Shahida dapat mengagak yang Amir pasti akan mempelawanya makan bersama.
“Awak tak nak makan dengan saya ke?” soal Amir lagi.
“Tak apalah. Saya nak makan dengan Zairin saja,” tegas Shahida.
Belum sempat Amir bersuara, Zairin segera mencelah.
“Yalah Amir. Bagilah dia jalan dengan aku. Aku teringin juga nak meraikan hari terakhir PMR dengan sahabat baik aku. Boleh tak?”
Amir hanya menganggukkan kepalanya. Dia akur dengan permintaan Zairin itu. Namun, ternyata Amir juga tidak puas hati dengan jawapan Shahida itu. Cara Shahida melayannya juga berlainan. Shahida tidak seperti dulu. Perbezaannya amat ketara. Dia sudah berubah dan ini dapat dirasakan oleh Amir. Apakah yang menyebabkan Shahida berubah? Adakah hatinya telah dicuri oleh lelaki lain? Siapakah lelaki itu? Amir membiarkan Shahida berlalu bersama Zairin. Terasa tercabar juga diri Amir membiarkan rakan-rakannya melihat Shahida menolak ajakannya dengan begitu sahaja.

“Jahat ke aku ni, Zairin? Tak patutkan aku buat begitu pada Amir,” keluh Shahida dalam nada bersalah.
“Kau tak kisah kalau aku jawab secara jujur?” Shahida mengangguk dengan pertanyaan Zairin itu. “Baiklah. Kalau pada pandangan aku, memang apa yang kau buat tu jahat. Kau tak sepatutnya berpura-pura dengan dia. Jangan bagi harapan kosong pada orang lain, Shida. Kau kena terus-terang juga dengan dia. Sampai bila kau nak rahsiakan perasaan kau tu?” Zairin cuba menyatakan perasaan tidak puas hatinya dengan tindakan Shahida pada Amir.
Shahida termenung seketika. Benar kata-kata Zairin itu. Dia cuba mendapatkan kepastian. Jika benar kata-kata Zairin itu, apakah yang harus Shahida lakukan? Sukar bagi dirinya untuk memikirkan keputusan yang sepatutnya diambil. Shahida bermain dengan rambutnya yang tidaklah begitu lurus itu. Dia memandang pula wajah Zairin.
“Tapi, walau apa pun yang terjadi, aku tetap sokong kau. Untuk pengetahuan kau, aku pun lagi suka Nadhir tu,” Zairin bersuara sambil mencuit bahu Shahida.
Shahida mula tersenyum malu. Sambil itu, dia berasa lega dengan apa yang diperkatakan oleh Zairin itu. Zairin pula mengusik Shahida dengan mencubit tangannya beberapa kali. Shahida cuba mengelak. Tiba-tiba pandangan Shahida beralih ke satu arah di mana seorang pelajar lelaki sedang berjalan menghampiri mereka berdua. Lelaki itu cukup Shahida kenali. Dilihat dengan jelas, rupanya Haziq pelajar lelaki itu. Shahida mula teringatkan sesuatu. Dia mengingati semula isi kandungan email yang diberikan oleh Nadhir kepadanya. Haziq dan Zairin! Shahida telah berjanji untuk menolong Haziq berkawan dengan Zairin selepas tamat PMR. Ya, inilah masanya!
Haziq melalui mereka. Dia hanya mampu tersenyum apabila menyedari Shahida dan Zairin berada di kawasan yang dilaluinya. Oleh kerana Haziq tidak berhenti untuk menegur mereka, Shahida mengambil keputusan memanggil Haziq. Zairin terkejut. Haziq menoleh kebelakang. Pada mulanya Haziq tidak merasakan apa-apa. Dia ingin berjalan menghampiri Shahida. Tetapi hatinya mula berdebar setelah dia menyedari Zairin berada di sebelah Shahida. Langkah Haziq berhenti serta merta. Melihat Haziq hanya berdiri kaku memandang mereka, Shahida menghampiri Haziq sambil menarik tangan Zairin. Zairin berasa hairan dengan tindakan Shahida itu. Setahu Zairin, Shahida jarang bertegur sapa dengan Haziq. Mengapa tiba-tiba sahaja Shahida menegur Haziq? Lebih menghairankan, mengapa Shahida begitu beria menarik tangan Zairin?
“Hai Haziq. Dari mana ni?” Shahida menyoal memulakan perbualan.
“Jumpa kawan tadi. Bincang hal kelab bola sepak. Kamu berdua nak ke mana?” Haziq cuba berkata-kata walaupun nada percakapannya jelas menggambarkan yang dia gementar. Sesekali matanya menjeling ke arah Zairin.
“Kami berdua nak pergi makan dekat Mall. Nak ikut?” Shahida mempelawa Haziq.
Terbeliak mata Zairin apabila mendengar Shahida mengajak Haziq makan bersama mereka. Haziq juga agak terkejut. Namun Haziq pasti Shahida mengetahui mengenai perasaannya terhadap Zairin. Nadhir telah pun menceritakan pada Shahida. Pada mulanya Haziq menolak. Haziq memberi alasan yang dia tidak biasa makan bersama pelajar perempuan. Shahida memandang Zairin. Dia mengharapkan Zairin mengatakan sesuatu. Haziq masih lagi mengurut-urut jarinya. Sebolehnya dia tidak mahu berkelakuan begitu di hadapan Zairin. Apakan daya perasaan gementarnya menguasai dirinya ketika ini. Jelingan Zairin sudah cukup menjadikan degupan jantung Haziq bertambah laju.
“Marilah Haziq. Bukannya selalu. Makan berdua pun, tak seronok juga. Marilah ikut sekali.” Akhirnya suara Zairin kedengaran di telinga Haziq.
Pelawaan Zairin itu menyebabkan Haziq terus tertunduk malu. Dia akhirnya bersetuju untuk makan bersama dengan Zairin dan Shahida. Bukan senang mendapat peluang untuk keluar bersama Zairin. Haziq teringat sesuatu. Dia merenung sebentar wajah Shahida. Keningnya diangkat beberapa kali. Hairan rasanya Shahida melihat kelakuan Haziq begitu. Mungkinkah Haziq cuba merancang sesuatu.
“Baiklah. Kalau Haziq bawa seorang lagi kawan, boleh tak? Kawan Shida juga,” ujar Haziq sambil menjeling ke arah Shahida.
Giliran Shahida pula membeliakkan matanya. Benar saja apa yang dijangkakannya itu. Haziq memang merancang sesuatu untuk mengenakan Shahida kembali. Zairin tersenyum sinis kearah Shahida. Dia juga dapat mengagak apa yang cuba diperkatakan oleh Haziq itu. Zairin mengangguk menandakan setuju dengan permintaan Haziq.
“Kalau macam tu, kawan Haziq tunggu kat bawah,” Haziq mengajak Zairin dan Shahida berjalan bersamanya.
Shahida mula berasa berdebar. Dia tahu siapa yang akan ditemuinya sebentar lagi. Matanya mula tertuju pada seorang lelaki yang masih lagi berbaju sekolah berada tidak jauh di hadapannya. Betullah sangkaan Shahida bahawa Haziq akan membawa pelajar lelaki ini bersama. Terselit perasaan malu pada dirinya. Ingin sekali dia mengukirkan senyuman menyatakan betapa gembiranya bertemu dengan Nadhir. Tapi, Shahida tahu dia pula yang akan berkelakuan seperti Haziq pabila bertemu dengan Nadhir nanti.

Nadhir yang sedang berdiri di tepi pondok telefon awam. Nadhir terkejut melihat Haziq berjalan bersama dengan Zairin dan...Shahida! Tibalah masanya Nadhir pula merasakan hatinya berdebar-debar. Shahida sekali lagi cuba memandang ke arah Nadhir. Shahida merasakan satu perasaan yang sama dengan Nadhir. Mereka bertiga menghampiri Nadhir.
“Hai. Lama ke kau tunggu aku?” Haziq bersuara.
Nadhir hanya menggelengkan kepalanya. Sempat juga dia tersenyum kepada Shahida. Dia tidak mahu berkelakuan seperti Haziq. Belajar daripada pengalaman! Nadhir pandai menyembunyikan rasa malu dan debaran dalam dirinya. Shahida membalas senyuman manis Nadhir itu. Nadhir seakan tidak percaya melihat Shahida berada di hadapan matanya sekarang. Bertambah manis riak wajahnya apabila dilihat dari dekat. Nadhir tidak melepaskan peluang ini untuk memandang wajah Shahida. Shahida hanya tertunduk malu. Dia cuba mengelak dari pandangan mata Nadhir. Zairin melihat gelagat Nadhir dan Shahida. Haziq memberitahu Nadhir mengenai pelawaan Shahida untuk makan bersama mereka. Nadhir sedikit pun tidak menolak. Dia faham tindakan Shahida mengajak Haziq makan bersama adalah kerana Zairin dan Haziq. Shahida pasti masih ingat dengan kata-kata Nadhir dalam email yang dihantarnya.

Tanpa mereka berempat sedari, Amir dan rakan-rakannya sedang memerhatikan mereka. Mata Amir memandang seakan ingin membaham sahaja Haziq dan Nadhir. Kalau boleh, mahu saja dia pergi menarik tangan Shahida berjalan dengannya. Memikirkan dia berada di tempat awam, niatnya itu dibatalkan.
“Bolehlah pula dia keluar dengan budak berdua tu, Amir?” rakan Amir mengusik.
Amir hanya menahan kemarahannya. Sekali lagi dirinya tercabar di hadapan rakan-rakanya. Amir masih ingat lagi Shahida bertanyakan tentang Nadhir pada dirinya. Shahida mengatakan dia dan Nadhir hanyalah kawan perbualan di internet. Namun, apa yang dapat Amir lihat kini bukanlah sekadar kawan. Amir dapat melihat senyuman Shahida. Bertambah sakit hatinya. Cemburu bertukar dendam. Senyuman semanis itu belum pernah lagi Shahida berikan kepadanya. Amir segera berlalu dari situ bagi mengelakkan dia bertindak melakukan sesuatu di luar dugaan. Pastinya dia bernekad untuk melepaskan kemarahannya yang membara itu terhadap Nadhir suatu hari nanti.