Lafaz yang kutunggu

meet the ^GTO^

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu pulang telah pun tiba. Murid-murid semua berpusu-pusu keluar dari kelas. Pelajar-pelajar sesi pagi telah pun menamatkan waktu persekolahan mereka pada hari Jumaat ini. Seperti biasa, apabila tiba hari Sabtu dan Ahad, ada sahaja kerja rumah yang diberi oleh guru-guru kepada murid-murid mereka. Shahida dan Zairin berjalan bersama menuju ke pintu pagar sekolah mereka. Di pintu pagar inilah ramai pelajar menunggu ibu bapa mereka datang menjemput mereka pulang ke rumah. Tiba di pintu pagar sekolah, ibu Shahida telah pun berada di situ. Shahida bergegas menuju ke kereta ibunya. Dia melambaikan tangan ke arah Zairin. Zairin membalasnya.
“Awal mama hari ni?” soal Shahida pada ibunya, Puan Hamidah.
Puan Hamidah menjawab, “Hari ni mama keluar lunch awal. Kan ke orang lelaki nak pergi Solat Jumaat.”

Oh, ya! Hari ini hari Jumaat. Barulah Shahida teringat. Shahida mudah lupa pada hari. Kadang-kadang dia tidak tahu pun apakah hari pada hari itu. Dia sedikit pun tidak prihatin pada hari apa atau pun apa yang berlaku di negara atau dunia kini. Shahida hanya tahu belajar dan melakukan sesuatu yang disukainya. Namun begitu, dia tidak pernah memungkiri sesuatu janji atau pun tidak mematuhi masa. Dia melakukan setiap kerjanya dengan baik dan berpegang pada amanah yang diberi. Shahida juga mempunyai naluri yang sama seperti remaja lain yang ingin bergembira dengan rakan, terkenal di sekolah, dan bercinta. Semua itu juga keinginan Shahida. Walaupun begitu, dalam hatinya tetap ada satu tujuan. “Hey, belajar tetap nombor satu!” bisik kata hati Shahida.
Kereta Satria biru milik Puan Hamidah berhenti di hadapan pintu pagar rumah. Shahida keluar dari kereta itu. Dia menutup pintu kereta lalu kereta itu berlalu dari situ. Shahida melambaikan tangannya. Apabila bayangan kereta Satria itu tidak lagi kelihatan, Shahida melangkah masuk ke dalam rumah. Belum pun dia sempat mengetuk pintu, adiknya, Diana telah pun berdiri di hadapannya.
“Mana mama?” Diana segera bertanya.
“Mama ada temu janji dengan kawan dia. Hari ni dia makan dekat luar. Nanti pukul dua dia datang ambil Diana,” jawab Shahida.
“Masuklah kak.”
Shahida membuka kasut sekolahnya lalu diletakkan di tepi. Perlahan-lahan dia masuk ke dalam rumah. Diana duduk di atas sofa lalu sambung menonton televisyen.
“Kakak nak makan, ada bawah tudung saji tu. Diana masak ayam goreng je hari ni.”
Shahida hanya tersenyum memandang adiknya yang baru berada di tingkatan satu. Walaupun dia masih muda, namun sikap Diana kadang-kadang lebih matang daripada dua orang kakaknya. Shahida menuju ke dapur. Dia membersihkan tangan untuk makan.
“Diana, marilah makan dengan kakak,” Shahida memanggil adiknya.
“Akak makanlah. Diana tak ada seleralah,” Diana menjawab seakan merajuk.

Shahida tahu adiknya merajuk kerana Puan Hamidah tidak pulang makan tengah hari pada hari ini. Selalunya, kalau makan tengah hari, pasti Puan Hamidah akan pulang ke rumah. Memandangkan pejabatnya berhampiran dengan rumah, Puan Hamidah akan pulang untuk menghantar dan mengambil anak-anaknya ke sekolah. Diana adalah anak yang paling manja dengan Puan Hamidah berbanding anak-anaknya yang lain. Tidak dinafikan kerana dia adalah anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik. Shahida mempunyai seorang kakak dan seorang adik perempuan. Kakaknya bernama Nadia, 18 tahun dan kini berada di Kolej Matrikulasi Perlis. Oleh sebab keluarganya tinggal di Shah Alam, Nadia jarang pulang ke rumah. Jika cuti, Nadia lebih selesa pulang ke kampung mereka di Perak. Jika cuti panjang, barulah Nadia pulang ke rumah. Adik Shahida pula ialah Diana. Dia belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, yang juga merupakan sekolah Shahida. Diana berada di sesi petang manakala Shahida di sesi pagi. Bapa mereka adalah seorang pengurus sebuah butik pakaian di ibu kota.
Walaupun sibuk dengan kerja, Encik Kamal tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Shahida sentiasa bersyukur memiliki keluarga yang bahagia. Mungkin kerana itulah Shahida dan adik-beradiknya yang lain juga tidak pernah melupakan tugas mereka sebagai seorang anak yang baik. Pada tahun ini, Shahida akan mengambil peperiksaan PMR. Persediaan Shahida cukup rapi dalam menghadapi peperiksaan yang akan menentukan kursus yang akan diambilnya pada tahun hadapan.

Bunyi hon kereta satria kedengaran sekali lagi di hadapan rumah mereka. Shahida tahu itu adalah Puan Hamidah. Diana berlari mendapatkan kakaknya di dapur.
“Diana pergi dulu.” Diana mencium dahi Shahida. Diana menghulurkan tangannya untuk bersalaman tapi Shahida mengelak.
“Eh, tangan kakak kotor! Belum habis makan lagi.”
Mendengar kakaknya berkata begitu, Diana bergegas mencapai beg sekolahnya lalu mengambil kasut sekolah yang berada di tepi pintu.
“PERGI DULU!” Diana menjerit.
“JANGAN MERAJUK DENGAN MAMA!” Shahida membalas. Kelihatan di tingkap rumah, Diana menjelirkan lidahnya ke arah Shahida lalu berlalu dari situ. Shahida melambaikan tangan kirinya.

Selesai makan, Shahida naik ke bilik tidurnya. Selepas mandi dan solat Zohor, Shahida mencapai beg sekolahnya lalu membawa keluar kerja rumah yang diberi. Dalam bilik tidur Shahida terdapat sebuah meja belajar dimana di tepinya ada sebuah komputer. Katil pula berwarna kuning dan terdapat sebuah almari baju di hadapan katil. Kesimpulannya, bilik ini dipenuhi dengan unsur kartun kegemaran Shahida iaitu Pokemon. Terdapat poster Pokemon, patung kecil Pokemon, cadar Pokemon, alat tulis Pokemon dan berbagai lagi barang Pokemon di dalam bilik Shahida. Namun warna kegemarannya ialah warna biru muda. Sedang Shahida membuat kerja rumah, telefon bimbitnya berbunyi. Dia mencapai telefon bimbit Nokianya berwarna biru muda itu.
“Assalamualaikum cik Shahida. Dah siap buat kerja rumah?” soal Zairin.
“Waalaikumussalam cik Zairin. Baru separuh siap. Kenapa kau telefon aku ni?”
“Emm…sebenarnya aku bosanlah. Aku tengah chatting sebenarnya ni. Kau tak
nak online sekali ke?”
“Aku memang nak online pun. Tapi lepas aku siapkan kerja rumah akulah. Sekarang tak boleh.”
“Alah, rajin sangatlah kau ni. Ada dua hari lagi. Banyak masalah. Lagipun, bukannya bertimbun kerja rumah yang cikgu bagi.”
“Tapi, tak salah kalau aku siapkan awal. Betul tak?”
“Yelah, betullah tu cik Shahida! Aku dah tak boleh nak kata apa lagi. Hang buatlah kerja rumah hang tu. Sat gi dah habis, hang call aku. Aku tengah bosan tahap maksimum ni. Bye..”
“Bye…” Shahida meletakkan telefon bimbitnya di atas katil.

Shahida menyambung semula kerja sekolahnya. Shahida memang tidak senang duduk kalau kerja sekolah yang diberikan oleh guru tidak disiapkan lagi. Dia mesti menyiapkan kerja rumahnya dengan lengkap dan kemas. Selagi belum siap, dia tidak berasa senang untuk melakukan kerja lain. Ini sudah menjadi tabiatnya sejak dia berada di sekolah rendah lagi. Bukan dia sahaja bersikap begitu. Diana dan Nadia juga mempunyai sikap seperti Shahida ini. Memang tidak mustahil mereka menjadi salah seorang pelajar kesayangan guru-guru mereka serta mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.
Shahida memandang ke arah komputernya. Terdetik pula di hati Shahida untuk membuka komputer itu. Shahida berhenti seketika lalu beralih ke komputernya. Dia membuka suis komputer. Shahida mengambil wayar telefon rumahnya lalu disambung ke modem komputer itu. Ini merupakan salah satu daripada hobi Shahida iaitu melayari internet. Shahida akan mencari maklumat-maklumat tentang perkara yang diminatinya melalui internet. Selalunya jika Shahida melayari internet, dia lebih gemar chatting bersama Zairin dan rakan-rakannya yang lain serta mencari rakan baru. Seperti biasa Shahida akan melihat jika ada email baru di dalam Inbox. Kali ini dia tidak menerima sebarang email daripada sesiapa. Shahida sering menerima email dari Zairin dan kenalan jauh yang dikenalinya melalui internet. Dia membuka Mirc. Shahida biasanya menggunakan nama samaran, “PikaChu”. Kelihatan Zairin ada di #smks9. Zairin yang menggunakan nama samaran “uNLimited_GirL” menegur Shahida.

uNLimited_GirL: Hai, cepatnye siapkan keje rumah.
PikaChu: Taklah. Hati tergerak nak online sekejap.
uNLimited_GirL: Biaq betui? Hari mau hujan ka? He he he...
PikaChu: Aku bukannye lame pun. Lepas ni aku keluar ler. Aku nak cek email je.
uNLimited_GirL: Yelah!!!

Jari jemari Shahida pantas menaip perkataan demi perkataan. Dia terus berbual dengan Zairin. Shahida melihat ke arah jam dindingnya. “Lagi lima minit, aku tutuplah komputer,” bisik hati Shahida. Tiba-tiba satu nickname menegurnya.

^GTO^:semekom..:)...
PikaChu: waalaikummussalam...
^GTO^: panjangnye jwb. skool smks9kan?
PikaChu: yup! why? awak pun same ke?
^GTO^: saya pun smks9. 3 ape?
PikaChu: Aik, mana awak tahu saya form 3? awak kenal saya ke?
^GTO^: Sebenarnye, mmg saya kenal awak pun. Saja je buat tak kenal ni. Awak
Shahida 3 Gigihkan?
PikaChu: Ha’ah! So, awak ni sape? Mcm mana awak boleh kenal saya?
^GTO^: saya kenal awak dr Zairin. saya chat dgn dia tadi. Dia yg kenalkan
dekat saya. Kata dia, awak ni best kalau dijadikan kawan. So, saya
teringin nak kwn dgn awak.
PikaChu: Errr...boleh tu boleh. Tapi sekarang saya kena offline dulu. Nanti
kiter chat lagi, OK?
^GTO^: Eh, sblm offline, nak email boleh?
PikaChu: Boleh. Ash_Ida@yahoo.com Bye!
^GTO^: bye...see u again...

Shahida menutup komputer. Dia terus menghubungi Zairin dengan telefon bimbitnya. Namun tiada sebarang jawapan. Barangkali Zairin masih lagi melayari internet. Shahida meletakkan semula telefon bimbit itu di atas katil. Shahida bergerak ke meja belajarnya. Dia menyambung semula kerja rumahnya yang hampir siap itu.