Lafaz yang kutunggu

^GTO^...who are you?:)

Selesai solat Isyak, Shahida membantu Diana menyiapkan kerja rumahnya. Kalau dahulu, Nadia yang sering membantu Shahida jika ada soalan yang Shahida tidak tahu atau pun tidak faham. Nadia lebih cenderung dalam mata pelajaran Geografi dan Sejarah. Shahida pula lemah dalam mata pelajaran Sejarah tetapi cekap dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Seperti Shahida, Diana juga lebih cenderung dalam mata pelajaran Matematik tetapi lemah dalam Sains. Bapa mereka sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah. Ibu mereka datang menghantar minuman.
“Terima kasih, mama,” kata Diana. Puan Hamidah membelai rambut anak
bongsunya itu. Kelihatan Diana bertambah semangat membuat kerja rumahnya.
Itulah Diana. Ada sahaja ibunya, tentu sikapnya berubah. Shahida menuangkan air ke dalam gelas untuk Diana dan dirinya.
“Ida, tuang untuk papa sekali,” kata Puan Hamidah sambil memegang bahu Diana.
Diana tekun membuat kerja rumah. Shahida menuangkan air ke dalam gelas untuk Encik Kamal. Shahida menghantar gelas kepada bapanya. Encik Kamal senyum tanda mengucapkan terima kasih kepada anaknya itu. Shahida ingin berlalu dari situ tetapi bapanya menghalang.
“Ida, duduklah rehat dulu. Adik kamu tu kalau dah dapat mama dia, soalan tingkatan lima pun boleh jawab tu,” kata Encik Kamal. Shahida hanya tersenyum lalu duduk bersama bapanya menonton televisyen.
Diana memang manja dengan ibunya. Kalau dengan bapanya, dia tidaklah terlalu manja. Sejak dari kecil lagi, Diana memang tidak boleh berpisah dengan ibunya. Kalau boleh, ke mana saja ibunya pergi, Diana mesti ada bersama. Sikap Diana itu terbawa-bawa hingga sekarang. Diana sering mengunjungi salon kecantikan milik Puan Hamidah yang terletak di seksyen 9. Rumah mereka pula terletak di kawasan perumahan di seksyen 8. Jadi, perjalanan ke tempat kerja Puan Hamidah tidaklah begitu jauh. Diana sering ke sana dengan menaiki basikal ditemani kakaknya, Shahida. Dia akan menolong ibunya membuat kerja dan Shahida pula mengambil kesempatan membaca buku di dalam pejabat Puan Hamidah.
Tiba-tiba telefon rumah berdering. Diana segera menjawab panggilan itu.
“Oh, ada! Tunggu sekejap Kak Zairin. Kakak! Panggilan ni untuk akak,” Diana memanggil Shahida. Shahida bergegas ke arah Diana untuk menjawab panggilan itu.
“Hah, macam mana?” Zairin bersuara.
“Macam mana apa?” Shahida tertanya.
“Kerja rumahlah. Dah siap ke?”
“Dahlah. Kenapa?”
“Kalau dah siap tu, onlinelah malam ni. Esok cuti. Mesti ramai yang join.”
“Boleh juga. Aku pun dah lama tak online malam.” Puan Hamidah segera mengalihkan pandangannya ke arah Shahida.
“Okay! Cantik punya. Malam ni aku tunggu kau. Kau online pukul berapa?”
“Sebelas setengah sampai satu pagi je kut. Aku tak mahu lama-lama. Kalau siang, tak apalah. Lima jam pun aku boleh online.” Shahida memandang Puan Hamidah yang kemudian mencubit tangan Shahida. “...adoi mama, eh tak adalah, Takkan sampai lima jam...Ida gurau saja.” Shahida tersengih. Puan Hamidah hanya tersenyum. Diana pula hanya menahan ketawa. Geli hatinya melihat wajah Shahida apabila dicubit oleh Puah Hamidah.
“Haha...anak mak kena cubit!” Zairin menyindir.
“Hey, dahlah tu! Malam ni, jangan lupa.”
“Okay! Aku tak lupa! Bye...”
“Bye...eh...” Belum sempat Shahida menghabiskan percakapannya, Zairin telah pun meletakkan telefon. Talian telah putus.
Shahida baru teringat untuk bertanyakan Zairin tentang ^GTO^. Kemudian Shahida merasakan lebih baik bertanyakan tentang ^GTO^ di sekolah. Malas pula rasanya untuk menelefon Zairin. Takut pula nanti, banyak celotehnya. Shahida memandang ibunya. Puan Hamidah masih lagi menemankan Diana menyiapkan kerja sekolahnya.
“Mama, Ida naik dulu ye?” tanya Shahida. Puan Hamidah mengangguk.
Tiba-tiba Puan Hamidah bersuara, “Nak online jangan lama sangat. Siang ke malam ke, jangan lebih tiga jam. Nanti mama potong line internet, baru tahu.”
“Ida tahulah, mama. Takkan Ida nak guna sampai lima jam kut. Ida ingat pesan mama,” Shahida cuba mengambil hati ibunya.
“Mama pun gurau je. Dah, pergilah naik atas. Mama boleh ajarkan Diana ni.”

Shahida berlari-lari anak menuju ke bilik tidurnya. Jam di dinding menunjukkan baru pukul 9.10 malam. “Awal lagi,” fikir Shahida. Shahida memerhatikan sekeliling bilik tidurnya. Apa yang hendak dibuat sambil menunggu jam 11.30 malam tiba? Kerja sekolah sudah pun disiapkannya petang tadi.
Shahida akhirnya mendapat idea. Dia mencapai buku di atas meja belajarnya lalu berbaring di atas katil. Seperti biasa, buku yang akan dibacanya ialah buku rujukan pelajaran. Shahida membelek buku rujukan Sejarah. Shahida cuba menghafal beberapa maklumat penting. Sebenarnya dia kurang minat pada mata pelajaran yang memerlukan banyak bacaan. Matematik dan Sains merupakan mata pelajaran yang diminatinya. Shahida sering mendapat markah tertinggi dalam kelasnya bagi dua mata pelajaran itu.
Tanpa Shahida sedari, jam telah pun menunjukkan pukul 11 malam. Lama juga Shahida membaca buku. Shahida meletakkan semula buku rujukan Sejarah di atas meja belajarnya. “Baru sebelas malam. Alah…awal sikit, apa salahnya,” fikir Shahida.
“Mana Zairin ni? Tadi semangat suruh aku online. Dia pula tak ada,” bisik Shahida. Shahida menunggu Zairin sambil melihat Inbox. Dia mendapat email baru dari seseorang. Rupanya orang yang menggunakan nama samaran ^GTO^ menghantar email itu. Perlahan-lahan Shahida membaca email yang pendek dan ringkas itu.

Assalamualaikum…
Hai..ingat saya lagi? Saya ada chat dengan awak. Saya guna nickname ^GTO^. Ehemm…saya hantar email dekat awak ni sebenarnya, tujuan saya nak berkawan dengan awak. Itu pun kalau awak sudi. Saya teringin nak kawan dengan awak. Kalau awak sudi, balaslah email saya.
^GTO^

Shahida tersenyum. “Apa salahnya berkawan, ye tak?” Shahida memang suka mencari kawan-kawan baru. Shahida sendiri sudah pun mempunyai ramai kawan. Tapi, jarang pula dia berkawan dengan seorang pelajar lelaki. Barangkali pelajar lelaki ini tidak seperti pelajar lelaki lain yang kadang-kadang itu suka memperagakan diri mereka sebagai seorang pelajar yang terhebat di sekolah. Baru sahaja Shahida ingin membalas email ^GTO^, ada orang menegurnya di Mirc.

^GTO^: Hai.. ingat saya tak?
PikaChu: Eh..mestilah ingat. Baru je petang tadi kita chat.
^GTO^: Dah dpt email dari saya?
PikaChu: Dah....sape kata saya tak sudi? Berkawan tak salahkan?
^GTO^: He he he…Tak bertepuk sebelah tanganlah saya ni.
PikaChu: Dun worry! Saya ni baik orgnya…hi hi hi..
^GTO^: Ye ye, saya kenal awak sape. Satu skool kenal awak. Glamer katakan.
PikaChu: Uish, bahaya puji2 ni. Kembang dibuatnye. Tapi, tak adil awak je kenal
saya. Saya nak kenal awak juga.
^GTO^: Tak payahlah. Bukannya awak kenal saya pun.
PikaChu: Kenapa pula? Mana tahu saya kenal.
^GTO^: Tukar topik boleh? Awak guna nickname ni, awak minat pokemon ke?
PikaChu: Minat! Awak?
^GTO^: Tak minat sangat. Kenapa awak minat Pokemon?
PikaChu: Entah. Rasa nak minat, kita pun terminatlah.
^GTO^: Mesti banyak tahu ttg Pokemon. Story sikit…
PikaChu: OK! No hal~!

Shahida dan ^GTO^ berbual sehinggalah jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Zairin tidak kelihatan di Mirc. Shahida berhenti melayari internet lalu menutup komputernya. Perlahan-lahan dia berjalan ke katilnya. Shahida merebahkan badannya di atas katil. Dia memeluk anak patung Pikachu. Sukar bagi Shahida untuk tidur tanpa anak patung kegemarannya itu. Moga mimpi-mimpi yang indah akan membelai lenanya pada malam itu. Apa yang sedang bermain difikiran Shahida ketika ini? ^GTO^! Shahida tersenyum. Entah mengapa Shahida berasa senang berbual dengannya. Timbul pula keinginan untuk berbual lebih lama dengan pelajar lelaki yang masih tidak dikenalinya. Alangkah seronoknya jika Shahida dapat berbual dengan pengguna nickname ^GTO^ itu lagi sekali.