Lafaz yang kutunggu

^GTO^ @ Nadhir???

Masa berlalu dengan cepat. Tanpa disedari, Isnin telah pun tiba. Sudah masuk tiga hari Shahida mula berkenalan dengan ^GTO^. Persahabatan mereka bermula dengan berbual mengenai diri sendiri dan minat masing-masing. ^GTO^ berminat membaca komik Great Teacher Onizuka. ^GTO^ mengatakan yang dia suka pada watak utama komik itu iaitu guru sekolah yang bernama Onizuka. Katanya, watak itu menarik dan lain dari yang lain. Sukar untuk mencari guru sekolah begitu. Shahida tidak sangka yang dia berminat dengan kata-kata ^GTO^. Selama tiga hari mereka berbual di internet, belum lagi perbualan mereka membosankan. Selalu saja perbualan mereka dihiasi dengan topik yang menarik. Semalam, Shahida sanggup membuka komputer pada waktu petang semata-mata untuk melihat jika ada ^GTO^. Ternyata jangkaan Shahida tidak silap dan ^GTO^ juga sepertinya. Ada saja yang ingin mereka bualkan. Shahida termenung mengenangkan perbualan dia dan ^GTO^.

“Ya, itu dia! Cik Shahida kita termenung mengenangkan bila bulan nak turun ke riba. Kalau ye pun tunggu bulan turun tu, temanlah aku pergi makan dekat kantin,” Zairin menegurnya.
Shahida bangkit dari kerusi. Dia keluar dari kelas bersama dengan Zairin. Mereka berjalan perlahan menuju ke kantin bersama.
“Oh ye, aku lupa nak tanya kau. Kenapa kau tak chat hari tu?” soal Shahida.
“Malam tu, aku tertidur awal. Esoknya mak aku cakap dia nak ajak aku pergi Melaka. Awal pagi lagi aku dah bertolak. Malam semalam baru aku sampai rumah,” jelas Zairin.
“Sabtu dengan Ahad aku tak kisah. Tapi yang hari Jumaat tu. Siapa yang semangat suruh aku online?”
“Alah, sorry ler! Jangan marah, Shida. Aku tertidurlah. Sorry ye?”
“Alah, mana ada aku marah. Selamat ada ^GTO^ borak dengan aku.”
“^GTO^? Oh ye, baru aku ingat. Dia ada tanya aku tentang kau.”
“Dia tanya? Bukan ke kau yang kenalkan aku pada dia?” Shahida bertanya dalam riak wajah yang begitu hairan.
“Mana ada. Dia tanya aku, kenal tak Shahida 3 Gigih. Aku cakap aku kenal. Lepas tu, dia tanya aku yang kau ni chat ke tak. Aku pun kata ye. Lepas tu pula, dia tanya nickname kau. Aku geram dia banyak sangat soal, aku soal dia pula. Kalau dia tak beritahu siapa dia, aku tak beritahu nickname kau. Dia jawab soalan aku, aku pun beritahu nickname kau. Selesai cerita. Puas?”
“Jadi, kau tahulah siapa dia?”
“Tahu. Dia Nadhir. Kelas 3 Kreatif. Pelik juga aku. Mana dia tahu aku ni kawan kau?”

Zairin dan Shahida tiba di kantin. Kantin bukan saja tempat makan bagi pelajar perempuan, tetapi ibarat gelanggang perbualan gosip-gosip baru di sekolah. Jumpa sahaja dengan rakan-rakan di situ, Zairin dan Shahida mula membuka cerita masing-masing. Namun Shahida agak mendiamkan diri. Di fikirannya masih lagi bermain nama Nadhir, 3 Kreatif. Tiba-tiba ada seorang pelajar lelaki menegur Shahida dari belakang. Zairin dan rakan-rakan Shahida yang lain mula tersenyum.
“Ada masa tak?” pelajar lelaki itu bertanya. Shahida mengangguk. Dia memandang rakan-rakannya.
“Pergilah. Jangan tak balik kelas sudah,” Zairin mengusik. Shahida bangun lalu berlalu bersama dengan pelajar lelaki itu.
Shahida dan pelajar lelaki itu duduk berbual di luar kelas 3 Fasih. Kelas itu berada di sebelah kelas 3 Gigih. Mereka berdua berbual bersama di situ.
“Hai Amir! Rancak borak dengan awek?” Rakan-rakan Amir yang lalu mengusik dia dan Shahida.

Amir dan Shahida mula berkenalan pada pertengahan tahun lepas. Tiada siapa sangka pelajar terbaik seperti Shahida ada teman lelaki. Mereka menganggap pelajar seperti Shahida ini hanya menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan tidak mempunyai masa untuk mempunyai teman lelaki. Lebih menghairankan lagi, teman lelakinya itu ialah seorang pelajar yang memang terkenal dengan masalah disiplinnya. Tapi kalau dari segi memikat perempuan, memang Amir pakar dalam hal itu. Mungkin itulah yang menyebabkan Amir berjaya menambat hati Shahida. Selain itu, Amir juga terkenal dengan rupa parasnya yang tampan. Shahida membetulkan kaca matanya. Amir membetulkan tali lehernya. Shahida memandang Amir. Dia teringat sesuatu.
“Amir, awak kenal Nadhir tak?” soal Shahida.
“Nadhir? 3 Kreatif?” Soal Amir semula. Shahida mengangguk. “Kenal. Kenapa?”
“Boleh awak tunjukkan dia yang mana satu?” Shahida bertanya lagi.
“Boleh, apa salahnya.” Kedengaran nada cemburu dalam suara Amir.
Mereka berdua berjalan pergi ke kelas 3 Kreatif. Mereka berhenti di hadapan kelas 3 Jujur yang bersebelahan dengan kelas 3 Kreatif. Kelihatan dua orang pelajar lelaki berdiri di pintu kelas 3 Kreatif.
“Itulah Nadhir. Sebelah Haziq tu.” Jari Amir menunjukkan ke arah pelajar lelaki di sebelah Haziq. “Haziq dan Nadhir berkawan baik. Sebenarnya, Nadhir tu jenis tak suka bergaul dengan orang sangat. Haziq sajalah satu-satunya kawan baik dia,” Amir cuba menerangkan kepada Shahida. Shahida hanya mengangguk. “Kenapa awak tanya pasal Nadhir?” Amir mula menyoal sekali lagi dalam nada cemburu.
“Sajalah nak kenal. Dia chat dengan saya hari tu,” Shahida menjawab.
“Chat je kan? Tak lebih dari tu?” Nada cemburunya itu masih lagi melekat.
“Ye! Chat je. Tak lebih dari tu,” Shahida cuba meyakinkan Amir.
“Amir! Ustaz nak jumpa kau!” Tiba-tiba kawan Amir menjerit dari tingkat bawah.
Amir memandang ke bawah lalu menjerit. “Dekat mana?!”
“Dekat bilik disiplin!” Sahut rakannya. Amir memandang Shahida pula. Dia tersengih.
“Ada masalah lagilah tu,” Shahida mengusik.
“Amir pergi dulu. Awak tunggu tau masa balik nanti dekat tempat biasa,” kata Amir.
Amir berlalu dari situ sambil melambaikan tangannya kepada Shahida. Shahida membalasnya. Shahida memandang ke arah Nadhir. Nadhir masih lagi berbual dengan Haziq di depan pintu kelas 3 Kreatif. Shahida merenung wajah Nadhir.
Nadhir, merupakan seorang pelajar lelaki yang berkulit hitam manis seperti Shahida. Dia bukanlah seorang pelajar yang dikenali di sekolah itu. Nadhir lebih suka menyendiri daripada bergaul bersama dengan orang lain. Bagi dia, Haziqlah satu-satunya rakan yang boleh dipercayai. Nadhir juga seorang lelaki yang pendiam dan juga seorang pelajar yang cemerlang. Dia seorang pelajar yang kemas dan belum pernah lagi terlibat atau dikaitkan dengan masalah disiplin. Nadhir merupakan seorang anak tunggal. Bapanya bekerja dan ini menyebabkan dia tinggal seorang diri bersama ibunya pada waktu siang. Dia suka menghabiskan masa lapangnya dengan melayari internet. Dia selalunya keluar dari rumah untuk bermain bola sepak bersama Haziq dan jiran-jirannya yang lain. Walaupun Nadhir bukanlah seorang pelajar yang dikenali, tetapi dia terkenal dikalangan pelajar perempuan. Tidak dapat dinafikan yang Nadhir memiliki raut wajah yang tampan. Jika diadakan pilihan antara Amir dan Nadhir, pasti ramai yang akan memilih Nadhir. Senyuman yang manis dan tingkah-laku yang sopan sudah tentu menarik perhatian pelajar perempuan yang melihat Nadhir. Namun Amir tetap mendapat perhatian yang lebih dikalangan pelajar perempuan. Mungkin kerana Amir lebih suka bergaul daripada Nadhir yang hanya suka duduk di meja kelasnya atau pun berbual dengan Haziq.
“Boleh tahan juga dia ni.” Bisik hati Shahida. Shahida merenung lagi wajah Nadhir. Nadhir dan Haziq ketawa seakan berbual perkara yang lucu. Terdetik satu perasaan gembira melihat Nadhir ketawa dalam hati Shahida. Dia kemudian mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Shahida berlalu dari situ menuju ke kelas 3 Gigih. Sambil berjalan, Shahida menoleh semula memandang ke arah Nadhir. Tiba-tiba, tanpa disedari Shahida, Nadhir menoleh memandang wajahnya juga. Shahida terkejut lalu segera mengalihkan pandangannya. Nadhir tersenyum mengetahui Shahida memandangnya sebentar tadi.