Lafaz yang kutunggu

what a wonderful family...

^GTO^: Saya tak ada niat nak tipu awak.
PikaChu: Saya tak kisah kalau org nak kawan dgn saya. Saya cuma tak suka
orang tipu saya je. Mana awak tahu Zairin tu kawan saya? Mana awak tahu nickname dia uNLimited_GirL?
^GTO^: Haziq yg bagitau. Dia pernah chat dgn Zairin. Dia kata mesti Zairin tahu awak guna nickname apa.
PikaChu: Kita belum pernah jumpa kat sekolah kan? Mcm mana awak boleh
kenal saya?
^GTO^: Awakkan ahli kelab Fotografi. Saya pun ahli kelab Fotografi.
PikaChu: Kita sama kelab? Oooo…awaklah yang my friends selalu cerita tu!
^GTO^: Mengumpat ttg saya ke?
PikaChu: Dun worrie! Diaorg ckp awak ni handsome. Mcm2lah diaorg puji. :)
^GTO^: Rupa ni tak kekal. Bila dah mati, semua yg ada hilang mcm tu aje.
PikaChu: Aik, nape tiba-tiba ckp pasal mati pula ni?
^GTO^: Hidup ni sementara. Tak perlu bangga dengan apa yang kita ada.
“Kenapa dengan dia ni?” Tiba-tiba sahaja Shahida berasakan sesuatu yang agak berlainan pada diri Nadhir ketika ini. Mungkinkah ada sesuatu mengenai Nadhir yang Shahida tidak tahu? Mereka masih baru berkawan. Perkenalan ini masih lagi dalam peringkat permulaan. Banyak lagi perkara yang Shahida akan ketahui dan kenali mengenai Nadhir. “Barangkali dia tak ada mood hari ni,” Fikir Shahida cuba memahami Nadhir.
PikaChu: Nadhir..boleh tak saya tanya awak satu soalan?
^GTO^: Tanyalah…
PikaChu: Kalaulah, awak diberi peluang utk hidup dlm masa 3 tahun saja
lagi, apa yg awak nak buat?
^GTO^: Saya akan cuba mencapai sesuatu yang saya inginkan.
PikaChu: Macam mana awak nak dpt sesuatu tu?
^GTO^: Beranikan diri! Saya nikan dpt hidup sementara saja. 3 tahun! Tak lama.
PikaChu: Hei, saya gurau je. Jgn serius sangat.
^GTO^: Saya tahu awak bergurau. Tapi, betul tak apa yang saya cakap?

Shahida tersenyum seorang diri di hadapan komputer. Kalau ada orang yang melihat Shahida berkelakuan begini, mungkin mereka akan bertanya adakah Shahida ini gila. Senyum seorang diri di hadapan komputer sambil dagunya ditongkatkan dengan kedua belah tangannya. Merenung skrin komputer itu seakan ada wajah seseorang di hadapannya itu. Jika benar ada yang bertanya, jawapan yang terlintas di fikiran Shahida ialah, “Mungkin aku dah tertarik dengan Nadhir.”

Jam menunjukkan pukul 8 malam. Keluarga Shahida sedang enak menjamu selera di ruang makan bersebelahan dengan dapur. Mereka selalu makan malam bersama. Encik Kamal dan Puan Hamidah jarang pulang pada waktu malam. Mereka akan tiba di rumah sebelum pukul 6.30 petang. Pada waktu malam, mereka berdua akan menghabiskan masa mereka bersama dengan anak-anak. Selesai makan malam, Shahida dan Diana akan menolong Puan Hamidah mengemas dapur. Bapa mereka pula akan menuju ke ruang tamu dan menonton televisyen sambil membaca surat khabar. Sedang Shahida menolong ibunya di dapur, Encik Kamal memanggilnya. Shahida bergegas ke ruang tamu.
“Kenapa papa?” Shahida bertanya.
“Cuti pertengahan tahun mula Sabtu minggu nikan?” Bapanya bertanya pula. Shahida mengangguk. “Begini. Papa ingat nak pergi bercuti. Sebelum Ida ambil PMR bulan sepuluh nanti, bolehlah Ida berehat menenangkan fikiran. Jadi, papa nak Ida cadangkan tempat yang kita sekeluarga nak pergi bercuti nanti.”
“Kalau Ida,…Ida teringin nak pergi bercuti ke Pulau Pinang. Ida belum pernah pergi Pulau Pinang lagi.” Shahida menggunakan peluang ini untuk menyatakan hasratnya ingin pergi ke Pulau Pinang.
“Baiklah! Cuti ni, kita sekeluarga pergi bercuti ke Pulau Pinang.”
“Terima kasih, papa. Tak sangka papa nak bawa family kita pergi bercuti sebab Ida nak ambil PMR tahun ni.”
“Alah, bukan ke setiap kali kalau ada anak papa nak ambil peperiksaan, papa mesti bawa family kita pergi bercuti. Takkan tak ingat kut?”

Shahida tersenyum gembira. Memang Encik Kamal suka membawa anak-anak dan isterinya pergi bercuti. Lebih lagi kalau anak-anaknya akan menghadapi peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, atau SPM. Encik Kamal akan memastikan anak-anaknya bergembira dan tidak berasa tertekan dengan pembelajaran. Percutian ini belum pernah mengecewakan Encik Kamal. Jika dilihat pada anak-anaknya yang pernah mengambil UPSR, PMR, dan SPM, semuanya mendapat keputusan yang cemerlang. Pada tahun lepas, Nadia, anak sulungnya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Sebelum itu, PMR nya juga lulus dengan cemerlang. Tidak lupa juga pada Diana dan Shahida yang pernah menduduki UPSR dan keputusan mereka juga tidak mengecewakan. Pada tahun ini, Shahida pula akan menduduki PMR. Encik Kamal dan Puan Hamidah berharap prestasi pembelajaran anak mereka yang kedua ini tidak akan mengecewakan mereka.

Shahida membaca buku di dalam bilik tidurnya. Sekarang baru pukul 10 malam. Selalunya Shahida akan tidur sebelum jam 11.30 malam kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu. Dia akan menghabiskan masanya dengan melayari internet pada waktu malam. Dia akan tidur pada pukul 1.30 pagi atau pun 2 pagi. Mungkin selepas ini, Shahida akan tidur pada pukul 3 pagi barangkali. Yalah, begitu menumpukan perhatian ketika berbual dengan Nadhir, tentunya dia tidak akan sedar masa berlalu. Tiba-tiba Shahida terfikir mengenai Nadhir. Rasanya, tidak sabar pula menunggu hari esok. Mereka berdua akan berbual di internet pada waktu petang. Jika hari Jumaat dan Sabtu, mereka akan berbual pada waktu malam. Nadhir dan Shahida berjanji tidak akan melayari internet pada hari Ahad. Apa yang menyebabkan Nadhir itu begitu menarik perhatian Shahida? Kata-kata Nadhir mungkin tidak semanis kata-kata yang diucapkan oleh Amir. Mungkinkah Shahida merasakan yang Nadhir itu tidak seperti lelaki lain? Atau, mungkinkah Shahida merasakan yang dia istimewa kerana dia menjadi sahabat Nadhir yang selama ini tidak gemar berkawan? Mengapa Nadhir ingin berkawan dengannya? Soalan ini, kadang-kadang bermain di fikiran Shahida.
Tiba-tiba pintu bilik Shahida diketuk.
“Siapa?” Soal Shahida.
“Diana, kak,” Diana menjawab.
Shahida meletakkan buku di atas meja lalu berjalan membuka pintu. Diana tersenyum memandang Shahida. Shahida membenarkan Diana masuk ke biliknya yang sentiasa kemas itu. Diana duduk di kerusi hadapan komputer. Shahida merenung adik bongsunya itu yang masih berada di tingkatan satu. Air muka Diana sedikit pun tidak menunjukkan riak kegembiraan. Shahida mula rasa serba salah. Diana tidak berkata apa-apa.
“Kenapa jumpa kakak ni?” Shahida memulakan perbualan. Diana masih tunduk. “Diana ada masalah ke?” Diana masih lagi tidak mengeluarkan sebarang kata-kata..
Shahida mula berasa kurang senang melihat perlakuan adiknya begini. Dia kemudian menarik adiknya itu duduk bersama di atas katilnya. Shahida memegang bahu Diana. Diana mula menitiskan air mata.
“Kenapa dengan adik kakak ni?” Shahida memujuk lembut.
“Kak, kalau kak nak tahu, dekat sekolah…kawan selalu buli Diana. Mereka selalu suruh Diana buat macam-macam. Kalau Diana tak dengar cakap mereka, nanti mereka marah Diana. Mereka maki hamun Diana. Mereka kata Diana ni lembik, bodoh,…” Diana berhenti berkata-kata. Dia menangis teresak-esak. Shahida memeluk tubuh adiknya itu.
“Diana, sebenarnya, orang yang Diana kenal tu, bukan kawan Diana. Orang macam tu mana boleh buat kawan. Diana dah salah pilih kawan.” Shahida cuba memujuk.
“Tapi,…siapa yang …nak kawan dengan…Diana?”
“Mesti ada. Kalau Diana tak cari, Diana takkan jumpa. Diana kena pandai cari kawan. Lagi satu, jangan bagi orang pijak kepala Diana. Jangan bagi orang lain kesempatan buli Diana. Diana kena kuat semangat. Ini baru tingkatan satu. Belum masuk tingkatan dua. Nanti lagi ramai kawan yang Diana akan jumpa. Lebih banyak kerenah yang Diana akan lihat. Diana kena kuatkan semangat tahu!” Shahida memberi semangat kepada Diana.
Shahida menenangkan adik bongsunya itu. Perlahan-lahan dibelainya rambut Diana yang lurus itu. Diana masih lagi menangis di pangkuan Shahida. Perlakuan Diana tidak ubah seperti Shahida ketika di tingkatan satu. Pada waktu itu, Nadialah tempat Shahida mengadu. Semasa di tingkatan satu, Shahida juga sering dibuli rakan-rakannya. Segala masalahnya diceritakan kepada Nadia. Shahida teringat saat-saat kakak kesayangannya itu berada di rumah. Nadialah tempatnya mengadu masalah. Nadialah tempatnya bertanyakan tentang pelajaran. Kini, gilirannya pula menggantikan tempat Nadia. Diana memerlukan Shahida seperti mana Shahida memerlukan Nadia sebelum Nadia mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi Perlis. Namun, Shahida tetap merasakan yang jika Nadia ada di sini ketika ini, tentu dia boleh membimbing Diana lebih baik daripada dirinya. Terdetik pula rasa rindu di hati Shahida pada Nadia. Diana bersandar pada bahu Shahida.