Lafaz yang kutunggu

Nadhir Vs Amir

Kelihatan Nadhir berdiri di hadapan kedai buku Smart. Tangannya menggenggam telefon bimbit Nokia berwarna merah. Nadhir menunggu Haziq yang pergi ke tandas sebentar. Dia memandang ke dalam kedai buku itu. Promosi buku sedang diadakan sekarang. Nadhir berfikir, kalau Shahida, sudah tentu dia akan membeli seberapa banyak buku latihan untuk mengulang kaji pelajarannya. Shahida seorang pelajar yang rajin. Inilah salah satu sebab mengapa Nadhir begitu tertarik dengan Shahida. Seorang gadis yang sering mementingkan masa depannya. Sudah hampir beberapa bulan mereka berkenalan melalui internet, namun Nadhir dan Shahida masih lagi belum bertegur sapa. Perasaan malu antara mereka berdua masih belum dapat ditepis lagi. Mereka berdua hanya mampu bertentang mata dan tersenyum jika terserempak di mana-mana. Wajah Shahida mula bermain di fikiran Nadhir.
Beberapa orang pelajar lelaki muncul di kawasan itu. Mereka menghampiri Nadhir. Nadhir sudah dapat mengagak. Perasaan tidak selesa melihat kehadiran beberapa orang pelajar lelaki yang amat dikenalinya itu. Namun kenal tidaklah bermakna kawan.
“Hai, budak pandai! Buat apa datang sini? Tak ada kelas tambahan ke?” kata salah seorang pelajar lelaki itu.
Mereka ini semua adalah teman rapat Amir. Sebelum ini mereka tidak pernah menegur Nadhir. Namun, selapas Shahida memberitahu Amir yang dia pernah berhubung dengan Nadhir melalui internet, rakan-rakan Amir sering mengganggunya. Mereka sering mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati Nadhir. Jika berjumpa sahaja, mereka tidak akan berhenti menyindir Nadhir. Kadang-kadang mendengar sahaja nama rakan-rakan Amir ini pun, sudah cukup menimbulkan perasaan jelik yang teramat dalam hatinya.
“Hey, tengoklah! Berdiri pun depan kedai buku. Barangkali, dia tinggal dekat sini.” Sindir pelajar itu lagi. Salah seorang daripada rakannya cuba membantu.
“Biasalah. Orang tak ada kawan, kawan dengan buku sajalah. Lagipun, siapa nak kawan dengan orang yang lurus bendul macam ni!” Mereka ketawa beramai-ramai.
Nadhir menahan sabar. Genggamannya bertambah kuat. Rakan-rakan Amir itu mula menepuk bahu Nadhir. Mereka menolak Nadhir. Nadhir mula hilang sabar. Matanya ibarat ingin menelan sahaja kesemua pelajar lelaki itu. Tiba-tiba salah seorang daripada pelajar itu menjentik telinga Nadhir. Belum pun sempat Nadhir melepaskan geramnya, Haziq datang menyelamatkan keadaan.
“Hoi, samseng! Tak malu ke cari gaduh dengan orang? Ingat samseng aku takut ke?” Tengking Haziq sambil memegang kuat tangan Nadhir.
Rakan-rakan Amir terkejut dengan kehadiran Haziq. Mereka terpaksa berlari meninggalkan Nadhir. Bukannya takut dengan fizikal Haziq, tetapi dengan pengaruh Haziq yang agak kuat dikalangan guru-guru disiplin. Walaupun dia bukan pengawas, tetapi dia sering membantu guru-guru dalam membanteras masalah disiplin.
Apabila kelibat rakan-rakan Amir sudah tidak kelihatan lagi, Haziq cuba menenangkan Nadhir yang masih lagi berada dalam api kemarahan.
“Nadhir, bawa bertenang. Budak-budak tu dah pergi,” Haziq menenangkan Nadhir.
Nadhir menarik nafas panjang. Genggamannya longgar kembali. Mahu saja dia menghadiahkan sesuatu kepada rakan-rakan Amir tadi. Fikir Nadhir, bukankah lebih baik genggamannya tadi terkena wajah mereka. Itu merupakan satu hadiah yang menarik. Dia menoleh ke arah Haziq.
“Apa masalah mereka?” Soal Nadhir dalam nada tidak puas hati.
“Aku rasa kau tahu kenapa. Budak-budak tu kan kawan Amir,” jawab Haziq.
Nadhir hanya mengangguk tanda faham.
“Nadhir, aku tahu kau marah dengan mereka. Tapi, kau kena ingat. Kalau sekali kau hilang sabar, buruk padahnya.” Nasihat Haziq yang begitu memahami rakannya itu.
“Kau takut aku tercedera ke Haziq?” Nadhir melemparkan satu senyuman sinis.
“Bukan. Aku takut budak-budak tu yang tercedera kena belasah dengan kau. Nanti, kau juga yang ada rekod disiplin.”
“Takkan aku nak cemarkan rekod aku dengan perkara yang remeh macam ni.”
“Kalau kau fikir begitu, legalah sikit hati aku. Ingat, kawal perasaan tu. Apa pun yang terjadi, aku tetap akan tolong kau. Okay?”
Nadhir hanya tersenyum. Baginya Haziqlah sahabat sejati dunia dan akhirat. Sukar untuk mencari sahabat sebaik Haziq. Mereka berdua membeli beberapa buah buku latihan PMR. Seperti biasa, Nadhir tidak akan ketinggalan membeli komik GTO kegemarannya.
“Tak ada benda lain dia nak beli,” usik Haziq melihat Nadhir sentiasa membeli komik itu jika mereka pergi ke kedai buku..
Selesai membeli buku, mereka berdua berjalan menuju ke arah kedai permainan video. Haziq melihat permainan yang ada di situ. Dia melihat di dalam poketnya jika ada lebihan duit membeli buku tadi.
“Tak ada benda lain dia nak beli,” usik Nadhir dalam nada yang sama dengan Haziq. Haziq menolak Nadhir. Haziq juga suka membeli cd video game yang baru jika pergi ke kedai permainan video. Nadhir melihat jam di tangannya. Jam berwarna biru berjenama Adidas itu menunjukkan baru pukul 3 petang. Awal lagi rasanya untuk Nadhir pulang ke rumah. Selalunya dia akan pulang sebelum pukul 6 petang. Nadhir membiarkan Haziq yang mula khayal di kedai permainan video itu.
Nadhir berjalan ke arah sebuah kedai telefon bimbit. Nadhir memandang ke arah tawaran murah yang dipamerkan di hadapan kedai itu.
“Housing, sepuluh ringgit?” Nadhir membaca beberapa perkataan yang tertulis di banner yang ditampal di situ.
Pada mulanya Nadhir tidak berminat dengan tawaran murah seperti itu. Apabila dia ternampak satu barang yang menarik perhatiannya, dia terus membawa langkahnya masuk ke kedai itu. Nadhir mengambil keputusan untuk membeli barang itu. Haziq ternampak Nadhir memasuki kedai telefon bimbit itu. Selesai membeli, Haziq berjalan menghampiri Nadhir yang baru sahaja keluar dari kedai itu.
“Kau buat apa dalam kedai tu?” Haziq menyoal Nadhir.
“Tak ada apa. Saja nak tengok kalau ada handphone yang lawa,” jawab Nadhir acuh tak acuh. Haziq berasa hairan. Dia merenung tajam ke arah Nadhir.
“Kenapa pula kau ni? Marilah! Tadi kata nak pergi kedai Speedy,” ajak Nadhir melihat rakannya mula berkelakuan begitu.
Nadhir berjalan meninggalkan Haziq di belakang. Haziq terpandang telefon bimbit di tangan Nadhir. Setahu Haziq, warna telefon bimbit Nadhir ialah merah. Baru Haziq sedar yang Nadhir telah pun menukarkan warna telefon bimbitnya kepada warna biru sama seperti warna telefon bimbit Shahida. Haziq hanya tersenyum mengingatkan Nadhir cuba mengelak daripada Haziq mengetahui mengenai keinginannya menukar housing telefon bimbitnya.
Setibanya Haziq di kedai Speedy itu, Haziq melihat Nadhir tiada di situ. Haziq mencari Nadhir.
“Ha! Makan budak!” Sergah Nadhir secara tiba-tiba dari belakang Haziq. Haziq terkejut sehingga topi yang dipakainya tertanggal. Air mukanya terus berubah. Nadhir ketawa berdekah-dekah. Haziq membetulkan topinya.
“Takkan itu pun terkejut?” Soal Nadhir sambil mengusik topi Haziq. Nadhir ketawa lagi. Haziq membetulkan topinya sambil menolak Nadhir.
“Mahu tak terkejut. Tiba-tiba anak beruang muncul depan aku. Kau pernah ke tengok anak beruang depan mata kau?”
“Kau panggil aku beruang?” Nadhir mengambil topi Haziq lalu dipakainya.
“Betullah. Anak beruang yang ceria. Gembira nampak? Ada apa-apa ke ni?” Haziq mengambil topinya semula.
“Tak ada apalah. Nak tengok cd kartun tak? Layan kartun seronok juga cuti sekolah ni.”
Nadhir dan Haziq melihat cerita kartun yang dijual di kedai itu. Haziq melihat vcd Pokemon ada dijual di kedai itu. Haziq tersenyum memahami niat Nadhir. Dia memandang Nadhir yang masih lagi mencari sesuatu. Haziq mengambil vcd Pokemon itu lalu di letakkan di hadapan Nadhir. Nadhir terkejut dengan tindakan Haziq itu.
“Ini ke yang kau cari?” Nadhir menggelengkan kepala sambil tersenyum. Haziq memegang vcd itu. Nadhir berpura-pura mencari sesuatu. Haziq meletakkan lagi sekali vcd itu di hadapan Nadhir. Dia tidak menghiraukan Haziq. Namun, apabila Haziq sentiasa meletakkan vcd itu di hadapan matanya, Nadhir akhirnya mengalah.
“Mana kau tahu aku cari vcd ni?”
“Haha...aku kawan kau, aku tahulah kau cari apa.”
“Tapi, kau tahukan aku tak minat kartun macam ni?”
“Tapi, puteri Pulau Pinang kan minat?”
“Puteri Pulau Pinang?” Nadhir berfikir sejenak. Baru teringat yang Haziq memperkatakan tentang Shahida. “Isy, merepeklah kau ni! Apa kaitannya dengan dia pula?”
“Hey, kau ingat aku ni apa? Tunggul kayu yang ada dekat belakang rumah kau? Aku tahulah Nadhir. Sejak bila kau suka warna biru muda ni?” Haziq mengambil telefon bimbit Nadhir.
“Saja tukar. Tak ada kaitan dengan Idalah.”
“Ehem...Ida! Amboi, Idalah pula. Manjanya!”
Nadhir cuba mengambil semula telefon bimbitnya dari tangan Haziq. Haziq melarikan diri daripada Nadhir. Haziq yang cuba mengelak daripada Nadhir tidak sedar kehadiran sesiapa di sekelilingnya. Tiba-tiba Haziq terlanggar seorang gadis yang sedang melihat kaset di kedai itu.
“Minta maaf cik. Saya...err...” Haziq terkedu memandang wajah gadis itu.
Haziq mula menjadi Nadhir yang bertembung dengan Shahida. Gadis yang dilanggarnya itu ialah Zairin. Haziq berdiri kaku di situ. Zairin hanya tersenyum manis apabila mengetahui Haziq yang berlaga dengannya. Haziq dapat merasakan jantungnya berdegup laju. Hatinya berdebar-debar melihat Zairin berada di hadapan matanya. Dia ingin berkata sesuatu tetapi lidahnya seakan kelu untuk berkata-kata.
“Eh, kita ni asyik berlanggar sajakan? Tapi, kali ni awak yang langgar saya. Awak buat apa dekat sini?” soal Zairin.
Haziq ingin menjawab pertanyaan itu tapi terasa amat berat untuk dia mengeluarkan kata-kata. Zairin yang menyedari keadaan Haziq begitu hanya mampu mendiamkan diri. Wajah Zairin juga hampir merah padam. Setiap kali mereka berjumpa, pasti Haziq akan berkelakuan begitu. Nadhir menahan ketawa melihat gelagat Haziq itu. Nadhir berjalan ke arah Haziq. Zairin yang menyedari kehadiran Nadhir terus menegur Nadhir.
“Jalan dengan Haziq ke?” Nadhir mengangguk. “Tak apalah. Saya saja nak tengok kaset dekat kedai ni. Saya pergi dulu ye,” kata Zairin sambil berlalu menghampiri kakaknya yang ada di luar kedai itu.
Nadhir dan Haziq melihat Zairin berlalu. Haziq mengeluh panjang. Dia mula berasa menyesal tidak menegur Zairin dan terasa seperti orang bodoh berkelakuan begitu di hadapan Zairin. Nadhir mengambil telefon bimbitnya dan vcd Pokemon dari tangan Haziq.
“Sebelum nak kenakan aku, tengok dulu kau dengan Zairin macam mana,” sindir Nadhir.
Nadhir membeli vcd Pokemon itu. Haziq masih lagi dalam keadaan menyesal. Bukankah elok jika dia menegur Zairin tadi. Selesai membayar, Nadhir mengambil topi Haziq lalu menarik Haziq keluar.
“Dahlah tu. Lepas ni, kalau jumpa tegurlah. Jangan berlagak macam budak-budak,” kata Nadhir. Haziq menggaru kepalanya.