Lafaz yang kutunggu

Langkah bermula

(10) Shahida masih lagi berada di Pulau Pinang. Dia, Diana dan Nadia sedang
membaca email yang dihantar oleh Nadhir.
“Nadhir, Ida, alahai, romantiknya! Sudah pandai ye kau!” usik Nadia.
“Abang Nadhir ni yang kelas 3 Kreatif tu ke?” soal Diana.
Shahida hanya mengangguk. Dia terkejut membaca email Nadhir itu. Rupanya Haziq menyimpan perasaan terhadap Zairin. Patutlah selama ini Haziq sering membela Zairin kalau ada pelajar lelaki yang mengusiknya. Tidak salah anggapan Shahida selama ini. Sesuai juga kalau Zairin itu dipadankan dengan Haziq. Dia membalas email Nadhir dengan mengatakan dia bersetuju untuk membantu Nadhir dalam menyatukan Haziq dan Zairin selepas PMR selesai.
“Apa ni? Habis sekolah dulu, baru bercinta,” usik Nadia lagi.
“Ida tolong kawanlah, kak!” Shahida cuba mempertahankan dirinya.
“Memanglah akak cakap tentang kawan kau. Siapa cakap kau yang bercinta?”
“Betul tu. Lagipun, Kak Idakan ada boyfriend dah. Amirkan?” Diana juga cuba mengusik Shahida.
“Bencilah! Mana ada! Isy, tak sukalah!” Mimik mukanya memang menyatakan perasaan marah Shahida apabila Diana menyebut nama Amir.
“Eh, dia marahlah Diana! Apalah kau ni Diana. Kak Ida kau bukannya bercinta dengan Amir. Dia bercinta dengan...”
“Kak Nadia! Saya tak bercinta dengan Nadhirlah!” ujar Shahida tegas.
“Tak cakap pun nama Nadhir. Kau yang cakap!” Nadia tersengih.
Shahida menarik muka. Dia membaca semula email yang diberikan oleh Nadhir. Nadia dan Diana masih lagi mengusik Shahida. Nama Nadhir kerap kali disebut-sebut. Kadang-kadang tu sampai di hadapan ibu-bapa mereka pun Nadia dan Diana menyebut nama Nadhir. Shahida tidak boleh mengelak lagi. Semasa dia pergi ke pusat komputer itu, dia tidak menyedari yang Diana dan Nadia mengekorinya dari belakang. Sedang dia membaca dan membalas email Nadhir, Diana dan Nadia berada di belakangnya memerhatikan setiap perkara yang ditulis oleh Shahida dan Nadhir. Shahida tidak boleh lagi merahsiakan hubungan baiknya dengan Nadhir daripada adik dan kakaknya. Namun, dia masih lagi menafikan yang dia menyukai Nadhir.
“Mengaku sajalah. Kak Nadia restu kau dengan dia,” Nadia tidak jemu mengusik Shahida.
Shahida hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum. Agaknya kalau dia mengaku, sudah tentu Nadia dan Diana akan lebih mengusiknya.
“Onizuka! Onizuka! Onizuka! Onizuka!” Diana melagukannya.
Shahida mengejar Diana. Mereka bertiga sedang berjalan di sebuah pusat membeli belah. Tiba-tiba telefon bimbit Shahida berbunyi. Shahida berhenti mengejar Diana lalu menjawab panggilan itu tanpa melihat nombor siapa yang tertera. Kedengaran suara Amir di talian. Shahida terkejut. Dalam hatinya mula berasa tidak senang. Shahida hanya melayan Amir seperti biasa. Tidak baik juga fikir Shahida jika tidak melayan orang yang ingin berbual dengan kita. Namun riak wajah Shahida menyebabkan Nadia dan Diana dapat mengagak bahawa Amir yang menelefon. Dua tiga hari ini jika Amir yang menelefon Shahida, pastinya riak wajah Shahida akan bertukar. Dia seakan tidak senang dengan panggilan dari Amir. Mungkinkah tiada lagi perasaannya terhadap Amir? Satu ketika dahulu Shahida memang gemarkan kata-kata manis yang keluar dari mulut Amir. Walaupun tidak pernah berbual melalui telefon atau pun bercakap apabila bertentang mata, kata-kata yang ditulis oleh Nadhir tetap menjadi pilihan Shahida.

“Kau beritahu dia?” soal Haziq dengan nada penuh tanda tanya. Nadhir mengangguk. “MALUNYA!!!” jerit Haziq.
Jeritan Haziq itu menyebabkan semua orang menoleh sebentar ke arah Haziq. Melihat Haziq tiada apa-apa, mereka mengalihkan kembali pandangan mereka. Haziq dan Nadhir berada di padang bola sepak. Padang bola sepak itu berada berdekatan dengan kawasan perumahan mereka. Haziq dan Nadhir tinggal di seksyen 9, berhampiran dengan sekolah mereka. Oleh sebab itu, mereka berdua lebih senang berjalan kaki pergi ke sekolah. Hampir setiap petang Nadhir dan Haziq akan bermain bola sepak bersama dengan rakan-rakan yang juga merupakan jiran mereka. Nadhir masih lagi sedang mengikat tali kasut bolanya. Haziq pula termenung memikirkan apa yang diperkatakan oleh Nadhir sebentar tadi.
“Ikat tali kasutlah!” kata Nadhir setelah melihat tali kasut rakannya itu tidak berikat.
“Kenapa kau beritahu Shida?” soal Haziq inginkan kepastian.
“Saja,” jawab Nadhir ringkas dan selamba.
Nadhir menyuruh Haziq mengikat tali kasutnya dan bersedia untuk bermain bola sepak. Belum sempat Nadhir berjalan menuju ke arah rakan-rakannya, Haziq menahan Nadhir dengan sebelah kakinya. Nadhir tersungkur jatuh. Mujur dia tidak tercedera. Haziq ketawa sekuat hati. Ternyata dia sememangnya tidak puas hati dengan jawapan dan cara Nadhir menjawab tadi.
“Kenapa kau buat macam tu, Haziq?” soal Nadhir dalam nada marah.
“Saja,” Haziq menjawab ringkas dan selamba dengan niat menyindir Nadhir.
“Apa masalah kau? Apa yang kau tak puas hati sangat?” Nada marahnya mula jelas kedengaran.
“Ok! Ok! Sorry sorry sorry! Aku geram dengan kau. Aku tanya kau baik-baik, kau jawab macam tu je. Siapa yang tak sakit hati,” Haziq menjawab segera bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang pergaduhan antara dia dengan Nadhir.
“Tapi, tak payahlah buat macam tu. Sakit kau tahu tak. Itu belum kira malu lagi orang tengok.”
“Yalah. Sorry again. Sekarang jawab betul-betul. Kenapa kau beritahu Shida?”
“Aku beritahu dia supaya dia boleh tolong kau dengan Zairin. Kalau nak tunggu kau yang cakap dengan Zairin, memang sampai habis sekolah pun belum tentu kau cakap dengan dia.” ujar Nadhir.
“Perli aku nampak? Malunya aku! Mesti Shida gelakkan aku.” Haziq menutup mukanya.
“Aku percaya Ida mesti tolong. Dia takkan gelakkan kau. Dia bukan macam perempuan lain.”
“Hey, pakcik! Kau ada kenal perempuan lain ke selain daripada, IDA?!” Haziq menggunakan peluang ini untuk menyindir Nadhir pula.
Nadhir memandang Haziq. Haziq mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Nadhir tersenyum memikirkan kebenaran kata-kata Haziq itu. Nadhir memukul belakang Haziq lalu berlari dari situ meninggalkan Haziq. Memang betullah apa yang diperkatakan oleh Haziq sebentar tadi. Nadhir tidak pernah ingin berkenalan dengan perempuan lain. Lebih lagi setelah dia mengenali Shahida ketika di tingkatan satu.
“Kalau Nadhir berani berkawan dengan Shida, kenapa tidak aku berani berkawan dengn Zairin,” fikir Haziq apabila mengingatkan perubahan pada diri Nadhir dan keberaniaannya memulakan persahabatan dengan Shahida walaupun melalui internet.
Kadang-kadang Haziq terfikir juga mengapa Nadhir memberanikan diri untuk berkenalan dengan Shahida. Sedangkan selama ini Haziq mengenal Nadhir sebagai seorang yang pemalu dan jarang bergaul dengan orang. Kalau dengan lelaki pun dia susah hendak bertegur sapa, inikan pula perempuan. Sambil itu, Haziq mengikat tali kasut bolanya yang masih terbiar dari tadi. Tiba-tiba terlintas di fikiran Haziq sesuatu mengenai Nadhir. Dia menggelengkan kepala menafikan apa yang ada difikirannya itu. Dia memandang ke arah Nadhir. Nadhir melambaikan tangannya memanggil Haziq bermain sekali. Haziq berdiri dan bersedia untuk bermain.
Sambil berlari ke arah Nadhir, sekali lagi perkara itu terlintas difikirannya. Kini dia tidak cuba menafikan malahan memikirkan kebenarannya. Adakah sebab perkara itu? Ya, mungkin sebab perkara itulah Nadhir berani berkawan dengan Shahida, walaupun hanya melalui internet. Adakah Shahida tahu mengenai perkara itu atau tidak? Pastinya tidak! Haziq yakin Nadhir tidak memberitahu Shahida mengenai perkara itu. Nadhir merahsiakan perkara itu daripada semua orang. Hanya keluarga Nadhir dan Haziq seorang sahaja yang tahu mengenainya. Tapi, sampai bila Nadhir ingin merahsiakan perkara itu daripada Shahida? Apakah reaksi Shahida apabila mengetahui perkara sebenar mengenai Nadhir?
“Nak main ke tak nak?” tiba-tiba Nadhir menegur Haziq.
Haziq tersedar. Haziq merahsiakan daripada Nadhir berkenaan dengan apa yang difikirkannya tadi.
“Ya, ya, aku nak main!” jawab Haziq.
“Habis tu, kenapa termenung?” soal Nadhir lagi.
“Bukan termenung. Fikiran melayang sekejap,” ujar Haziq.
“Melayang ke mana? Ke Zairin?” usik Nadhir.
“Taklah. Melayang ke…PULAU PINANG!” jerit Haziq di telinga Nadhir.
Suara Haziq membingitkan telinga Nadhir. Nadhir pening sebentar. Haziq yang tahu Nadhir akan memarahinya berlari jauh dari Nadhir. Nadhir yang sedar Haziq melarikan diri terus mengambil bola dari rakannya lalu ditendang menuju ke arah Haziq.